PUSAT  Kawalan Operasi (OCC) MMMSL di Al-Abdiya, Arafah.
PUSAT Kawalan Operasi (OCC) MMMSL di Al-Abdiya, Arafah.
HM Digital

Makkah: Sebutir kurma yang menghalang pintu tren untuk tertutup rapat boleh menjejaskan keseluruhan operasi tren haji Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL), sekali gus mengganggu pergerakan jemaah yang menggunakan perkhidmatan itu.

Itu antara gambaran insiden atau krisis yang mungkin boleh berlaku dan Syarikat Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana), selaku pengendali tren itu perlu bertindak pantas untuk menyelesaikan sebarang krisis bagi mengelakkan ia menjadi lebih rumit.

Pengurus Pusat Kawalan Operasi (OCC) MMMSL, Mohd Affendi Ridzuan berkata sekiranya insiden seumpama itu berlaku, kakitangan syarikat pengendali hanya diberikan tempoh tiga minit bagi mengesan punca dan menyelesaikan masalah berkenaan.

“OCC berperanan penting dalam pengoperasian tren metro yang bergerak secara automatik seperti MMMSL dan ia juga nadi penting mengawal dan mengawasi pergerakan tren, pemantauan di dalam tren dan di stesen.

“Jika sesuatu insiden berlaku, contohnya kurma yang menghalang pintu tren untuk tertutup rapat, kakitangan kami di lapangan diberikan tiga minit untuk menyelesaikannya, jika tidak masalah sekecil itu merebak dan menjejaskan keseluruhan perkhidmatan tren,” katanya kepada media Malaysia yang berkunjung ke pusat kawalan itu, di sini, kelmarin.

Mohd Affendi berkata, tempoh tiga minit itu turut dijadikan piawaian bagi pengoperasian perkhidmatan tren di Malaysia, adalah tempoh penting untuk kakitangan syarikat bertindak sebaik mungkin dan tiada ruang untuk mereka melakukan kesilapan.

Bagi memantau secara menyeluruh pergerakan tren dan penumpang di stesen MMMSL, beliau berkata, 1,200 kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di lokasi tertentu dan jumlah itu tidak termasuk kamera di dalam tren.

Selain itu katanya, OCC juga menjalankan lebih 1,000 jam simulasi latihan sejak dua bulan lalu bagi menguji kecekapan pusat berkenaan dan kakitangan di lapangan bertindak menyelesaikan krisis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 10:53 AM