TAJUL Haslam (dua dari kiri) membungkus makanan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.
TAJUL Haslam (dua dari kiri) membungkus makanan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.
Aizat Sharif


Kangar: “Senyuman yang dilemparkan oleh setiap penerima bantuan melalui kerja sukarelawan yang saya lakukan sendiri atau melalui organisasi adalah pengubat kepada segala kepayahan yang dilalui.”

Begitu kata ahli perniagaan muda, Tajul Haslam Tajudin, 32, yang hampir sedekad menceburkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan menerusi kerja khidmat sosial dan kebajikan di Perlis.

Mungkin tidak ramai mahu membabitkan diri secara aktif dalam bidang sukarelawan kerana sering menganggap ia hanya menguntungkan satu pihak, Tajul Haslam pula positif dan cekal melakukannya.

Anak bongsu daripada dua beradik kelahiran Pulau Pinang ini sering mempunyai perancangan untuk melakukan khidmat bakti kepada masyarakat melalui kerja sukarelawan.

Justeru, tidak hairan beliau kerap dijemput untuk menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menawarkan perkhidmatan kepada masyarakat serta kebajikan, Kelab Rotary Perlis (KRP) dan kini menjadi pegawai perhubungan awam dalam organisasi berkenaan.

Menurut Tajul Haslam, langkahnya dalam aktiviti sukarelawan bermula di Sekolah Menengah Kebangsaan Putra, Kangar sebelum makin aktif selepas tamat persekolahan dengan menyertai Kelab Rakan Muda Kangar serta menjadi pengerusi selama enam tahun sehingga 2010.

“Rakan Muda ini adalah platform bagi melatih dan mendidik remaja agar mempunyai nilai kepemimpinan serta membawa mereka kepada aktiviti kesukarelawanan.

“Apabila mula terbabit aktiviti Rakan Muda peringkat kebangsaan dan negeri, saya kemudian memimpin Kelab Rakan Muda Perlis (KRMP).

“Alhamdulillah, KRMP akhirnya diangkat menjadi antara Kelab Rakan Muda terbaik dalam negara ini dan saya terpilih mewakili Perlis ke Konvensyen Rakan Muda Malaysia sekitar 2010 untuk memberi ceramah mengenai aktiviti kesukarelawanan,” katanya ditemui di sini.

Beliau, berkata, KRMP banyak terbabit dalam kerja sukarelawan dengan membantu kerajaan negeri ketika banjir besar di negeri itu sekitar 2008 dan menjadi penggerak bersama Ahli Parlimen Kangar ketika itu, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad untuk turun padang memberikan bantuan kepada mangsa banjir.

“Selepas banjir, kita turut mengambil inisiatif bersama-sama menyinsing lengan bergotong-royong membersihkan lumpur di kawasan kediaman masyarakat di sini ketika itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2017 @ 3:24 AM