GENERASI muda yang bakal menjadi tulang belakang masyarakat dan negara kita perlu segera dipupuk dan disematkan budaya kesukarelawanan supaya mereka mampu tampil menghulurkan bantuan apabila diperlukan. FOTO Arkib NSTP
GENERASI muda yang bakal menjadi tulang belakang masyarakat dan negara kita perlu segera dipupuk dan disematkan budaya kesukarelawanan supaya mereka mampu tampil menghulurkan bantuan apabila diperlukan. FOTO Arkib NSTP
Noor Mohamad Shakil Hameed

Hari Sukarelawan Antarabangsa (International Volunteer Day) disambut pada 5 Disember setiap tahun sebagai pengiktirafan di peringkat antarabangsa yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak tahun 1985. Tujuannya untuk menghargai jasa dan sumbangan yang diberikan sukarelawan dan untuk meningkatkan lagi kesedaran orang awam mengenai jasa dan sumbangan sukarelawan kepada masyarakat.

Secara takrifnya, sukarelawan bermaksud seorang individu yang mempunyai minat dan kecenderungan seterusnya terbabit dalam sesuatu kegiatan secara sukarela tanpa mengharapkan sebarang imbuhan dan balasan. Ironinya, tidak semua orang berminat untuk menyertai aktiviti kesukarelawanan ataupun sanggup dan mampu menjadi sukarelawan untuk aktiviti berbentuk kemasyarakatan atas pelbagai sebab dan alasan. Alasan yang paling popular dan klise yang sering kita dengar ialah sibuk dan tidak mempunyai masa yang cukup kerana terbabit dengan pelbagai komitmen lain termasuk urusan keluarga. Justeru, perlu ada usaha berterusan untuk memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan anggota masyarakat khususnya golongan muda.

Walaupun mutakhir ini kita dapat lihat seolah-olah ada satu gelombang perubahan yang mendadak dalam hal ini terutama apabila lebih ramai rakyat kita tampil untuk menjadi sukarelawan bagi membantu mangsa bencana alam seperti banjir dan pelbagai misi bantuan kemanusiaan, namun secara keseluruhannya ia belum boleh dibanggakan jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan penduduk negara ini terutama dalam konteks pembabitan generasi muda.

Hakikatnya, aktiviti kesukarelawan adalah tugas dan komitmen yang cukup murni, ikhlas dan terpuji. Ini kerana sukarelawan tidak pernah mengharapkan balasan atas sumbagan dan bantuan yang dihulurkan. Ringkasnya tidak ada gaji mahupun ganjaran dibayar kepada mereka yang menyertai aktiviti kesukarelawanan. Malah, sering kali kita dengar sukarelawan sanggup mengeluarkan duit poket sendiri sama ada untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa mahupun untuk membiayai penyertaan mereka dalam aktiviti terbabit. Itu sikap murni seorang sukarelawan.

Justeru, mengambil kira senario serta persekitaran dunia semasa termasuk di negara kita yang sering dilanda musibah dan bencana alam seperti banjir, tanah runtuh, tsunami, letusan gunung berapi serta peperangan di beberapa wilayah bergolak, adalah wajar untuk kita mempergiatkan usaha menyedarkan rakyat mengenai kepentingan memiliki hati yang mulia dan ikhlas untuk bertindak sebagai sukarelawan.

Generasi muda yang bakal menjadi tulang belakang masyarakat dan negara kita perlu segera dipupuk dan disematkan budaya kesukarelawanan supaya mereka mampu tampil menghulurkan bantuan apabila diperlukan. Usaha ini boleh dimulakan di sekolah, universiti, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.

Universiti misalnya dengan jumlah pelajar yang cukup ramai boleh terus menjadi platform yang melatih dan menyalurkan sukarelawan yang diperlukan oleh masyarakat dan negara. Peranan Majlis Sukarelawan Universiti-Universiti Malaysia (MASKUM) yang dianggotai semua wakil universiti awam adalah platform yang sering memainkan peranan dan tanggungjawab dalam melatih dan menyediakan sukarelawan yang diperlukan untuk pelbagai misi bantuan seperti misi bantuan banjir di seluruh negara, selain pelbagai aktiviti sukarelawan lain yang dilaksanakan oleh universiti masing-masing termasuk yang menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar.

Dalam konteks ini, Universiti Putra Malaysia (UPM) juga tampil dengan pelbagai inisiatif misalnya melalui Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) mengorak langkah proaktif bagi menyemarakkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar melalui penganjuran program kesukarelawanan selama 40 jam tanpa henti yang dikenali sebagai Putra Longest Non-Stop Volunteerism Activities (PUTRA LoVA) pada 10 hingga 11 Disember ini. Program yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) ini membabitkan penganjuran 40 jenis program kesukarelawanan antaranya projek membersihkan Sungai Klang, menyantuni penghuni rumah asnaf, mengagihkan makanan kepada petugas barisan hadapan serta aktiviti gotong-royong di beberapa lokasi yang terpilih.

Pihak sekolah juga wajar mengambil pelbagai inisiatif untuk memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan murid supaya mereka sedar tanggungjawab terhadap anggota masyarakat terutamanya golongan yang memerlukan pelbagai bantuan. Tuntasnya, jika semua pihak dapat memainkan peranan, kita mampu melahirkan lebih ramai sukarelawan, malah kesukarelawanan sewajarnya dijadikan budaya dan amalan individu atas semangat ingin membantu orang lain.

Dalam hal ini penulis cukup tertarik dengan sikap penonton Jepun di Piala Dunia Qatar 2022 yang secara sukarela membersihkan kawasan tempat duduk mereka selepas selesai sesuatu perlawanan. Kesungguhan mereka terserlah apabila sanggup membawa beg plastik untuk mengumpul bekas makanan dan minuman serta sampah lain demi memastikan kawasan terbabit kekal bersih. Ini semangat kesukarelawanan yang sangat terpuji.

Kita perlu melahirkan anggota masyarakat yang mempunyai sifat simpati, prihatin dan naluri ingin membantu orang lain supaya mampu menjadi sukarelawan yang berkhidmat kepada rakyat dan negara. Ingat, aktiviti kesukarelawanan hanya menuntut sekeping hati yang ikhlas yang sanggup menghulurkan bantuan tanpa mengira agama, bangsa dan negara atas dasar kemanusiaan.

Semoga semangat kesukarelawanan terus subur dalam diri kita.

Selamat menyambut Hari Sukarelawan Antarabangsa.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 7:00 AM