WARGA asing sekitar Indah Point membersihkan kawasan kediaman daripada sampah yang dibuang dari rumah kedai, semalam.
WARGA asing sekitar Indah Point membersihkan kawasan kediaman daripada sampah yang dibuang dari rumah kedai, semalam.
Faliq Lajim


Klang: Sikap warga asing yang sanggup tinggal dalam keadaan kotor di Indah Point, Meru dan Pulau Indah memaksa pihak berkuasa mengarahkan mereka membersihkan sendiri kawasan berkenaan, kelmarin.

Majlis Perbandaran Klang (MPK) mendapati persekitaran kediaman warga asing itu terlalu kotor dan berbau busuk.

Yang Dipertua MPK Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, pihaknya mengarahkan 100 warga asing itu untuk bersama-sama membersihkan kawasan itu.

“Kedua-dua kawasan itu mengalami masalah sampah kronik yang dibuang mereka dari rumah kedai.

“Kami mengarahkan mereka membersihkan kawasan itu bersama Jabatan Perkhidmatan Persekitaran (JPP) dan Jabatan Penguatkuasa MPK,” katanya.

Menurut beliau, tindakan seumpama itu bertujuan memupuk kesedaran berkaitan kebersihan di kalangan warga asing.

“Mereka diberikan amaran supaya menjaga kebersihan dan saya berharap ia memberi kesan terhadap sikap, mentaliti dan tabiat golongan itu,” katanya.

Mohamad Yasid berkata, sikap warga asing membuang sampah merata-rata mencemarkan nama baik bandar ini apatah lagi tahun ini sambutan Tahun Melawat Klang.

“Kami akan memantau kawasan kritikal yang menjadi kediaman warga asing bagi memastikan tahap kebersihan sentiasa terjaga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2017 @ 6:09 AM