FOTO Na'imah Mohamed
FOTO Na'imah Mohamed
Na'imah Mohamed


Klang: Kira-kira 10 tan sampah disita Majlis Perbandaran Klang (MPK) di perkarangan sebuah rumah teres setingkat di Taman Mewah Jaya, di sini, hari ini.

Dalam operasi bermula jam 10 pagi itu, sebuah jengkaut dan empat lori sampah dengan kekuatan 10 anggota digunakan untuk membersihkan timbunan sampah berkenaan.

Pengarah Jabatan Kesihatan MPK, Azmi Muji berkata, pihaknya menerima aduan dari jiran pemilik rumah berkenaan mengenai bau busuk di kejiranan mereka yang berpunca daripada timbunan sampah terbabit.

"Pemilik rumah mendakwa dia menjalankan aktiviti mengumpul barangan terpakai untuk dijual sejak dua tahun lalu di kediamannya dan mengatakan tidak pernah berlaku sebarang masalah kesihatan.

"Bagaimanapun, di kawasan ini telah berlaku tiga kes demam denggi dan kita khuatir keadaan sampah yang bertimbun di perkarangan tempat letak kereta rumahnya itu menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes," katanya ketika ditemui di lokasi.

Menurutnya, MPK telah menghantar notis kepada pemilik rumah untuk membersihkan sampah berkenaan sejak awal bulan, namun tiada sebarang pembersihan dibuat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2016 @ 1:15 PM