Zulfaizan Mansor


HUKUMAN penjara sekurang-kurangnya tiga tahun ke atas pemain yang terbabit dalam aktiviti mengatur perlawanan dianggap mampu membendung masalah sama terus berulang dan menghantui bola sepak negara pada masa depan.

Cadangan itu disuarakan bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Ridzuan Sheikh Ahmad sambil menjelaskan ia mampu memberi pengajaran kepada pemain lain daripada terjebak dalam gejala rasuah.

“Kesalahan ini (mengatur perlawanan) sangat berat kerana ia merosakkan liga kita, jadi hukuman cukup berat perlu dikenakan ke atas mereka yang terbukti bersalah.

“Bagi saya mereka patut dipenjara, minimum tiga tahun. Selepas keluar penjara, mereka perlu digantung seumur hidup dan tidak boleh terbabit langsung dalam aktiviti bola sepak, sama ada sebagai pegawai pasukan atau jurulatih.

“Kita mahu hukuman itu memberi pengajaran kepada pemain lain pada masa depan, biar semua pemain takut untuk melakukan rasuah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berdasarkan rekod, belum ada pemain yang terbabit dengan aktiviti mengatur perlawanan dalam Liga M dipenjara dengan hukuman paling berat dikenakan adalah digantung seumur hidup.

Pada Ogos tahun lalu, bekas pemain Piala Presiden T-Team pernah dikenakan hukuman penjara dua tahun, itupun atas pertuduhan memberi keterangan palsu pada perbicaraan kes mengatur perlawanan pada 2010.

Terbaru, Liga M sekali lagi dipalit isu mengatur perlawanan hanya selepas tiga perlawanan musim ini dengan dua pemain Sarawak yang didakwa terbabit rasuah sudah direman dan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Selain itu, Ridzuan turut mencadangkan dua langkah lain yang mungkin boleh dilakukan FAM untuk menangani masalah ini termasuk memperkemaskan sistem pemantauan dan menyediakan kursus pengurusan kewangan kepada pemain.

“Sistem pelaksanaan FAM sekarang lebih baik daripada dulu, tapi perkara ini masih berlaku. Jadi, FAM masih perlu pertingkatkan sistem pemantauan mereka termasuk menjalinkan kerjasama dengan negara lain dalam mengatasi masalah ini.

“Kalau kita nak berikan pendedahan mengenai keburukan rasuah, pemain sudah tahu. Lebih baik kalau FAM dapat berikan kursus cara menguruskan kewangan untuk masa depan pemain yang rata-rata bergaji tinggi.

“Ia kerana faktor kegagalan menguruskan kewangan dengan baik dilihat antara punca pemain mengambil jalan singkat mencari pendapatan sampingan dengan mengambil rasuah terutama apabila karier mereka semakin menghampiri penghujung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 12:59 AM