NOR AZMI menunjukkan dadah dan tefeon bimbit yang dirampas.
NOR AZMI menunjukkan dadah dan tefeon bimbit yang dirampas.

Sabak Bernam: Taktik seorang lelaki menyembunyikan bungkusan syabu di dalam almari pakaian gagal mengaburi polis apabila dia ditahan dalam serbuan di Kampung Tebuk Pulai di sini.

Serbuan jam 4.20 pagi semalam, dijalankan sepasukan enam pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam dan Balai Polis Sabak Bernam diketuai Asisten Superintendan Kamaruzzaman Sulaiman.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, suspek berusia 22 tahun dicekup di rumah itu yang dipercayai menjadi pusat aktiviti pengedaran dadah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di almari pakaian menemui lapan bungkusan plastik berisi dadah jenis syabu seberat 51.5 gram yang dianggarkan bernilai RM7,700.

“Suspek yang memiliki tiga rekod jenayah lampau dipercayai menjual dadah di sekitar daerah ini dalam bungkusan kecil yang dijual dengan harga RM150 satu gram,” katanya di sini, semalam.

Menurut beliau, penahanan suspek berjaya membongkar kegiatan itu yang turut didalangi dua lagi rakannya berusia 20 dan 21 tahun.

“Ketiga-tiga mereka adalah rakan sekampung dan hasil ujian air kencing mendapati mereka positif dadah,” katanya.

Kata Nor Azmi, semua lelaki berkenaan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2017 @ 6:05 AM