DADAH disyaki heroin dirampas daripada seorang lelaki Myanmar. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin.
DADAH disyaki heroin dirampas daripada seorang lelaki Myanmar. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin.
Amirul Aiman Hamsuddin


LELAKI berasal dari Myanmar tidak sempat mengedar heroin apabila dicekup polis dalam Ops Tapis di tepi sebuah rumah di Bagan Sungai Besar, Sungai Besar, semalam.

Dalam kejadian 3 petang itu, suspek berusia 48 tahun dilihat dalam keadaan mencurigakan di tepi rumah berkenaan dipercayai sedang menunggu pelanggan.

Operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam diketuai Inspektor S Ashok Kumar.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, suspek cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis.

“Dia berjaya ditahan dan pemeriksaan pada beg silang miliknya menemukan dua paket plastik lut sinar mengandungi dadah disyaki heroin seberat 20.72 gram dianggarkan bernilai RM700.

“Semakan mendapati suspek tidak memiliki dokumen perjalanan sah, hasil saringan air kencing pula didapati dia positif dadah,” katanya pada sidang media di IPD Sabak Bernam, hari ini.

Nor Azmi berkata, suspek direman selama 13 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 4:40 PM