NOR Azmi (tengah) menunjukkan heroin dan syabu yang dirampas daripada seorang lelaki di Desa Nelayan, Pasir Panjang, Sungai Besar, semalam. FOTO Ihsan PDRM
NOR Azmi (tengah) menunjukkan heroin dan syabu yang dirampas daripada seorang lelaki di Desa Nelayan, Pasir Panjang, Sungai Besar, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Amirul Aiman Hamsuddin


CUBAAN seorang lelaki mengedar dadah menggunakan rumah bapanya terbongkar selepas ditahan polis dalam serbuan di Desa Nelayan, Pasir Panjang, Sungai Besar, semalam.

Serbuan yang dilakukan jam 12.30 tengah malam itu diketuai Inspektor Muhamad Iqbal Ahmad Zawawi bersama sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam dan merampas dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM15,982.20.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, kejayaan itu hasil risikan dan siasatan polis sejak beberapa hari lalu.

“Hasil pemeriksaan di rumah itu berjaya menemui tujuh dan empat peket plastik lutsinar, masing-masing berwarna putih serta jingga mengandungi dadah jenis heroin seberat 219.92 gram dan 58.82 gram.

“Jumlah berat heroin dirampas ialah 278.74 gram bernilai RM8,362.20,” katanya.

Katanya, polis turut menemui satu peket lutsinar mengandungi dadah jenis syabu seberat 50.80 gram bernilai RM7,620.

“Hasil ujian air kencing terhadap suspek berusia 42 tahun beralamat di Bandar Indera Mahkota, Pahang didapati positif dadah jenis syabu.

“Suspek direman selama lima hari bermula semalam hingga Selasa depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 2:43 PM