Najib  disambut pegawai kedutaan sewaktu tiba di hotel penginapan  di Jepun, semalam.
Najib disambut pegawai kedutaan sewaktu tiba di hotel penginapan di Jepun, semalam.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terlalu dipolitikkan dan pihak tertentu dalam Malaysia cuba mengeksploitasinya untuk kepentingan politik peribadi mereka.

Katanya, mereka ini yang ‘menyalurkan kepada pihak berkuasa asing maklumat yang adakalanya salah atau tidak lengkap.’

“Mereka yang berada di luar Malaysia adakalanya tidak mudah memahami kerumitan isu ini dan ia suatu yang mereka harus ingat supaya tidak terjebak dalam perkara ini yang kini adalah isu politik dalaman negara,” kata Najib dalam temubual bertulis dengan Nikkei Asian Review sempena lawatan kerja tiga hari beliau ke Jepun mulai semalam.

Lawatan itu atas jemputan rakan sejawatannya, Shinzo Abe.

Najib berkata pihak berkuasa Malaysia yang sebenarnya memulakan penyiasatan dalam isu 1MDB dan beliau sendiri yang terlebih dahulu mengarahkan pelbagai pihak untuk menjalankan siasatan.

Perdana Menteri berkata, beliau berulang kali menegaskan bahawa kerjasama penuh perlu diberi terhadap mana-mana siasatan dengan syarat ia tidak bercanggah dengan undang-undang Malaysia.

“Malah seperti yang sering saya tegaskan, sekiranya terbukti berlaku sebarang salah laku, undang-undang akan diambil tanpa sebarang pengecualian,” katanya.

Mengenai pendirian Malaysia berhubung keputusan The Hague berkaitan tuntutan maritim oleh China, Najib berkata, Malaysia sentiasa berpendapat dan menyuarakan pendiriannya bahawa semua tuntutan di Laut China Selatan perlu berasaskan dan diselesaikan mengikut undang-undang antarabangsa.

“Kami percaya semua pihak perlu menghormati proses diplomatik dan undang-undang serta menyelesaikan sebarang pertikaian dan perselisihan pendapat secara aman melalui rundingan,” katanya.

Mengenai sama ada proses berasaskan konsensus yang menjadi amalan ASEAN perlu ditukar kepada keputusan berasaskan majoriti bagi mempercepatkan proses membuat keputusan, Najib berkata, ia sesuatu yang unik serta mengikut cara ASEAN dan oleh itu perlu dikekalkan.

“Segala yang dicapai ASEAN selama ini hasil daripada usaha secara bersama dalam kalangan 10 negara anggotanya. Ternyata, cara membuat keputusan melalui konsensus ini memberi manfaat kepada komuniti itu dalam politik, sosial dan budaya dan oleh demikian, perlu terus dipulihara,” katanya.

Mengenai lawatannya ke Jepun, Najib berkata, beliau dan Abe akan membincangkan perkara dua hala dan isu kepentingan serantau serta antarabangsa.

Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan menteri yang bertanggungjawab bagi pelbagai jabatan termasuk tanah, infrastruktur, pengangkutan dan pelancongan serta komuniti peniaga.

Najib berkata, Malaysia dan Jepun kini dalam fasa kedua Dasar Pandang Ke Timur.

“Sejajar dengan itu, kami akan terus mengukuhkan kerjasama institusi antara kedua-dua negara kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2016 @ 7:23 AM