Semua lembu dijumpai semula selepas terlepas di Kampung Puah.
Semua lembu dijumpai semula selepas terlepas di Kampung Puah.
Nadzreen Shah Mat Salim


Gombak: Penduduk Kampung Puah di sini, gempar apabila 12 lembu korban yang ditambat di atas lori lari, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, semua lembu itu baru tiba dari ladang di Rembau, Negeri Sembilan dan diturunkan di kawasan pengumpulan di kampung berkenaan.

Difahamkan, usaha menangkap haiwan itu dijalankan penduduk kampung yang menguruskan ibadat korban dengan bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Pegawai pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur Leftenan Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.43 dan pasukan anggota dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Dang Wangi dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Kami menerima panggilan daripada pekerja agihan kejadian lembu korban terlepas.

“Sebaik tiba di lokasi, pekerja itu memaklumkan 12 lembu terlepas dan mereka memerlukan bantuan mencari lembu itu,” katanya.

Menurutnya, pekerja itu mengatakan mereka perlu segera mengagihkan lembu berkenaan untuk diedarkan pada waktu yang dijadualkan sebelum ibadah korban dimulakan.

“Anggota APM mencari di sekitar kawasan itu dan mengambil masa enam jam untuk menemui semua lembu itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2016 @ 9:16 AM