Lembu ‘Merah’ yang mengamuk sebelum berjaya ditumbangkan di Surau Al Hijrah, Bandar Springhill, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Lembu ‘Merah’ yang mengamuk sebelum berjaya ditumbangkan di Surau Al Hijrah, Bandar Springhill, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Seekor lembu yang dipanggil 'merah' mengamuk dan mengejar orang ramai sebelum berjaya ditumbangkan untuk disembelih dalam program korban di Surau Al Hijrah, Bandar Springhill di sini, tadi.

Pengerusi Surau, Ramli Ismail berkata, lembu yang diberi nama 'merah' adalah lembu keempat untuk dikorbankan dari 10 lembu.

"Ketika lembu itu diturunkan dari lori untuk di bawa ke tempat persembelihan, ia tiba-tiba mengamuk hingga tali yang mengikat kakinya terlepas sebelum bertindak mengejar orang ramai yang berada di sekitar surau.

"Drama kejar mengejar itu tidak lama sekitar lapan hingga 10 minit sebelum ia keletihan dan berhenti sendiri.

"Saya difahamkan 'merah' bukanlah lembu liar tetapi mungkin kerana terkejut selepas melihat orang ramai yang berada di situ," katanya ketika ditemui di sini tadi.

Katanya, inilah kali pertama kejadian lembu terlepas ketika majlis korban sejak 18 tahun majlis ini diadakan di surau ini.

"Kalau dahulu pernah tembok surau runtuh di tendang lembu tetapi tidak terlepas.

"Namun kali ini pertama kali lembu yang nak dikorbankan terlepas namun bernasib baik ia dapat ditangkap jemaah surau.

"Penduduk berjaya menenangkan 'merah' selepas memujuknya dengan menghulur air untuk diminum sebelum dibaringkan untuk disembelih oleh Timbalan Pengerusi Surau Al Hijrah, Ustaz Abdul Fatah Zakaria," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2023 @ 6:20 PM