ANGGOTA APM menangkap ular sawa di dalam reban ayam di Jalan Hilton, Miri, semalam. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA APM menangkap ular sawa di dalam reban ayam di Jalan Hilton, Miri, semalam. FOTO Ihsan APM
Mohd Rizal Abdullah


MISTERI bunyi pelik ayam ternakan dari kawasan reban di sebuah rumah di Jalan Hilton, Miri, semalam terjawab susulan penemuan seekor ular sawa dewasa.

Dalam kejadian jam 11.45 malam itu, reptilia sepanjang tiga meter terbabit dikesan sudah menyelinap ke dalam reban, namun disedari penghuni rumah.

Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Miri Kapten Hazlee Shah Abd Hamid berkata, wanita berusia 47 tahun itu terdengar bunyi kokokan 'pelik' di luar rumah lalu membuat pemeriksaan.

Menurutnya, wanita terbabit tergamam apabila mendapati terdapat ular sawa di dalam reban ayam itu mengakibatkannya terus menghubungi talian kecemasan.

“Tiga anggota APM Miri dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 11.51 malam.

“Setibanya di lokasi mereka mendapati ular berkenaan masih di dalam reban dan belum sempat 'membaham' haiwan ternakan itu,” katanya.

Katanya, ular berkenaan berjaya ditangkap menggunakan peralatan khas tidak lama kemudian

“Ular sawa terbabit kemudian dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Miri sebelum dilepaskan semula ke hutan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 2:53 PM