ANGGOTA APM Miri berjaya menangkap ular tedung selar sepanjang lima meter yang menceroboh kediaman penduduk di kampung Siwak Jaya, Bakam, petang semalam. FOTO Erika George
ANGGOTA APM Miri berjaya menangkap ular tedung selar sepanjang lima meter yang menceroboh kediaman penduduk di kampung Siwak Jaya, Bakam, petang semalam. FOTO Erika George
Erika George

ENAM sekeluarga di Kampung Siwak Jaya, Bakam, yang sedang berehat di ruang tamu rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikejutkan dengan kehadiran seekor ular tedung, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, ular sepanjang kira-kira lima meter itu bersembunyi di bawah sofa selepas penghuni cuba menghalaunya.

Seorang penghuni kemudian menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Miri bagi meminta bantuan menangkap ular berbisa itu.

Jurucakap APM Miri berkata, seramai empat anggota dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan kira-kira jam 5.10 petang itu.

“Sejurus tiba di kediaman keluarga terbabit, anggota kami diberitahu ular berbisa itu masih bersembunyi di bawah sofa.

“Anggota kami menangkap reptilia itu menggunakan penjerut khas bagi mengelakkannya bertindak agresif,” katanya.

Beliau berkata, anggotanya mengambil masa 15 minit sebelum berjaya menangkap ular berkenaan.

“Selepas berjaya ditangkap, ular itu dibawa ke pejabat APM Miri untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 11:34 AM