ABDUL Azim  bersama isteri dan tiga anak tiba di Mahkamah Rendah Syariah, semalam.
ABDUL Azim bersama isteri dan tiga anak tiba di Mahkamah Rendah Syariah, semalam.
Murni Wan Omar


Kuala Lumpur: “Saya lari kerana ikut Millah (ajaran Millah Abraham) selain takut kerana tidak mempunyai wang membayar peguam. Saya buat keputusan drastik dan beremosi,” kata Abdul Azim Abdullah, 31, ketika merayu di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam.

Abdul Azim bersama isteri Heffy Syamsuar, 34, yang sebelum ini hidup dalam pelarian selama 671 hari ditahan atas kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah Daerah Kota Kinabalu serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, kelmarin.

Waran tangkap dikeluarkan terhadap pasangan itu bersama 14 tertuduh lain selepas gagal hadir ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur sejak 21 Oktober 2014.

Abdul Azim yang bekerja sebagai pembantu tadbir di Mahkamah Persekutuan Putrajaya ditahan di hospital tempatnya menjalani rawatan haemodialisis sebelum dibawa ke Mahkamah Rendah Syariah di Sabah.

Pasangan itu bersama tiga anak mereka dibawa ke Kuala Lumpur menaiki penerbangan jam 2.35 petang semalam dan terus dihadapkan ke mahkamah pada jam 7 malam.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Syarie Mohamed Hizwan Mohamad Nor, mahkamah dimaklumkan pasangan itu sebelum ini berdepan dua tuduhan membabitkan ajaran Millah Abraham.

Pegawai Pendakwa Syarie JAWI Zainor Rashid Hasin membantah sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan memerintahkan ketiga-tiga anak pasangan itu diletakkan dalam jagaan ibu dan bapa Abdul Azim.

Mahkamah juga menetapkan 29 Ogos untuk sebutan semula kes.

Selain Zainol Rashid, pendakwaan turut diwakili Pegawai Pendakwa Syarie Siti Noraini Mohd Ali dan Mohd Ihsan Mohamad Daud.

Kedua-dua mereka didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah pada 21 Oktober 2014 terhadap tuduhan mengambil bahagian dalam majlis berkaitan ajaran Millah Ibarahim @ Abraham.

Pasangan itu berdepan satu lagi tuduhan di Mahkamah Rendah Syariah, namun belum dibacakan selepas mereka gagal hadir ke mahkamah.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di dua lokasi di Jalan Cheras dan Wangsa Maju pada 20 Oktober dan 3 November 2014.

Terdahulu, Abdul Azim yang tidak diwakili peguam memohon diberikan jaminan dengan alasan perlu menjalani rawatan haemodialisis tiga kali seminggu.

Selain mendakwa tidak mengetahui undang-undang, tertuduh memohon diberi jaminan kerana tidak mahu bercampur dengan penjenayah lain berikutan masalah kesihatannya.

Heffy juga memohon jaminan diberikan kerana dia kini hamil lima bulan.

Zainor Rashid mengemukakan bantahannya dan memaklumkan pihak penjara tidak mengabaikan keadaan kesihatan pesalah.

Ahli keluarga turut memenuhi perkarangan mahkamah seawal jam 5.30 petang untuk bertemu pasangan yang melarikan diri sejak 2014.

Difahamkan, Heffy ketika kali pertama ditahan juga dalam keadaan hamil dan semalam kali pertama ahli keluarga dapat melihat anak pasangan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2016 @ 7:35 AM