Oleh Murni Wan Omar


Kuala Lumpur: Seramai 14 individu termasuk empat wanita dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, atas dakwaan mengembangkan kepercayaan ajaran Millah Abraham.

Tiga daripada mereka iaitu Zakaria Mat Kasar, 40 an; Kamarudin Anuar, 48, dan Johan Haruna, 40, didapati mengembangkan doktrin atau kepercayaan agama selain dari agama Islam kepada yang beragama Islam.

Ajaran itu dikenali sebagai Millah Ibrahim atau Abraham.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis perniagaan, terletak di tingkat dua, B-2-3, Blok B, Jalan 2/142A, Megan Phoenix, Jalan Cheras, di sini antara jam 9 malam hingga jam 9.25 malam, semalam (20 Oktober 2014).

Bagi perbuatan itu mereka di dakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Manakala 11 individu lain ialah Mahamad Azhari Tajudin, 43; Mohd Arif Abd Aziz, 33; Amirol Hafiz Mohd Samad, 24; Abdul Azim Abdullah, 29; Anuar Zainal, 47; Aizul Farikh Zainal Abidin, 39; Mohamad Harizal Kamaruddin, 36; Kamalia Mohamed Taib, 34; Nur Ridah Osman, 26; Heffy Syamsuar, 32 dan Liliwati Eden, 36.

Mereka didakwa bersama-sama di tempat dan waktu yang sama mengambil bahagian di dalam majlis yang mengembangkan doktrin atau kepercayaan agama yang dikenali sebagai Millah Ibrahim atau Abraham.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 43(b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Semua tertuduh faham dengan pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Hakim Syarie Ibrahim Deris menetapkan 6 November ini untuk sebutan semula.

Pendakwaan diketuai oleh Pendakwa Syarie Kanan Zainor Rashid Hassin.

Mahkamah membenarkan Zakaria, Kamarudin dan Johan masing-masing diikat jamin RM2,000 manakala tertuduh lain dibenarkan ikat jamin sebanyak RM1,500 seorang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 8:08 PM