myMetro

Kuala Lumpur: Sudah kering air mata namun kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang dilaporkan hilang di kawasan perumahan awam Jinjang, di sini, sejak Khamis lalu masih gagal ditemui.

Mangsa, Noor Amila Edrus Norsham dilaporkan hilang ketika menunaikan solat Maghrib di surau perumahan itu jam 7.20 malam.

Bapa mangsa, Norsham Jalil, 63, berkata, pihaknya kini berikhtiar termasuk mendapatkan khidmat pengamal perubatan tradisional.

Menurutnya, dia berdoa polis melakukan siasatan dan berharap ada perkembangan positif berlaku dalam masa terdekat ini.

“Sebagai bapa, saya sedih dan risaukan keselamatannya. Puas saya berusaha menjejakinya sejak tiga hari lalu namun gagal,” katanya.

Sementara itu, ibu tiri kanak-kanak terbabit, Norrihan Bakar berkata, anaknya jarang pergi ke surau berseorangan.

“Saya tidak tahu kenapa pada hari kejadian dia ke surau menunaikan solat maghrib bersendirian sebelum dilaporkan hilang.

“Kebiasaannya Edrus ke surau ditemani bapa atau rakannya,” katanya.

Katanya, dia mula menyedari kehilangan anaknya itu jam 8 malam selepas Edrus tidak pulang ke rumah sebelum laporan dibuat di Balai Polis Jinjang di sini, jam 10 malam hari sama.

“Saya sangat bimbang kerana dia masih kecil dan tidak tahu apa-apa.

“Saya dan suami tidak mempunyai sebarang masalah dengan orang lain atau berhutang dengan ceti haram,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau terlihat kanak-kanak lelaki itu diminta menghubungi talian telefon 014-7242412 atau 012-3251204.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, pihaknya menjalankan gerakan mengesan kanak-kanak itu.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat atau menjumpai kanak-kanak itu boleh melaporkan di balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 9:32 AM