Keadaan kereta yang dinaiki mangsa selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 84 Jalan Lipis-Merapoh petang hari ini. Foto Ihsan PDRM
Keadaan kereta yang dinaiki mangsa selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 84 Jalan Lipis-Merapoh petang hari ini. Foto Ihsan PDRM
RoselanAb Malek

Lipis: Guru Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) antara tiga wanita maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 84 Jalan Lipis-Merapoh petang hari ini.

Dalam kejadian itu, Mariam Ariffin, 41, seorang guru Tabika Kemas Kampung Mentara Baru yang juga penumpang belakang kereta Toyota Corolla Altis maut selepas mengalami kecederaan di kepala dan dada, meninggal dunia di tempat kejadian.

Rakannya, Che Mazenah Hussin, 61, yang beralamat di Quarters Klinik Kesihatan Merapoh mengalami kecederaan di kepala, turut meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang wanita lagi, Rosnani Md Daud, 28, isteri kepada pemandu kereta terbabit yang duduk di depan beralamat di RPS Merapoh mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis.

Pemandu kereta berkenaan pula yang juga suami kepada Rosnani dan Imam Masjid Merapoh mengalami kecederaan patah tangan kiri dan kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis.

Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati kereta Toyota Corolla Altis yang dipandu oleh Wan Mohd Azizol Wan Daud, 35, bersama empat orang penumpang dari arah Merapoh menghala ke Lipis.

"Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba sebuah motosikal keluar simpang di bahu jalan menghala ke Lipis.

"Pemandu kereta itu cuba mengelak motosikal berkenaan dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri.

"Kenderaan itu hilang kawalan lalu berpusing masuk ke laluan bertentangan dan dilanggar oleh sebuah van Toyota Hiace milik syarikat pengawal keselamatan," katanya.

Beliau berkata, pemandu van terbabit mengalami cedera ringan di muka dan dua penumpangnya cedera di kaki dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 10:17 PM