ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan Rohid yang cedera parah di Kilometer 12, Jalan Lipis-Merapoh.
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan Rohid yang cedera parah di Kilometer 12, Jalan Lipis-Merapoh.

Lipis: Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terbunuh Proton Wira dipandu bertembung dengan treler di Kilometer 12, Jalan Lipis-Merapoh dekat Kampung Bapong di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, mangsa Muhammad Farid Zulkiflie, 24 , yang bertugas di Kem Kementah, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakan setugas mangsa, penumpang hadapan Proton Wira itu, Rohid Russel Ronin, 22, yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Superintendan Abdul Rashid Mat Daud berkata, ketika kejadian, kereta dipandu Muhammad Farid menghala ke Merapoh dari arah Lipis.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, Proton Wira itu hilang kawalan ketika melalui selekoh dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan treler berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, akibat pertembungan itu, kereta dinaiki mangsa terperosok di bawah kenderaan berat berkenaan menyebabkan Muhammad Farid tersepit di tempat duduk pemandu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2016 @ 9:40 AM