CALON Menteri Besar Pahang dan Adun Pelangai, Datuk Seri Adnan Yaakob. FOTO Farizul Hafiz Awang
CALON Menteri Besar Pahang dan Adun Pelangai, Datuk Seri Adnan Yaakob. FOTO Farizul Hafiz Awang
Hidir Reduan dan Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


DATUK Seri Adnan Yaakob dijangka akan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Pahang bagi penggal kelima di Istana Abu Bakar, Pekan pada 9.30 pagi esok.

Pelantikan itu sekali gus menjadikan Adnan, 68, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai sebagai Menteri Besar paling lama berkhidmat iaitu selama 19 tahun di negeri ini.

Adnan yang berjaya mempertahankan DUN Pelangai bagi penggal kelapan mula dilantik sebagai Menteri Besar pada 25 Mei 1999 bagi menggantikan Tun Mohd Khalil Yaakob.

Menurut sumber, majlis mengangkat sumpah itu akan dilangsungkan di hadapan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, sebelum istiadat pengurniaan pingat darjah kebesaran negeri sempena memuliakan Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

“Perkara ini sudah dibawa ke pengetahuan Sultan Pahang (Sultan Ahmad Shah) dan Pemangku Raja Pahang (Tengku Abdullah) sekali gus mendapat perkenan baginda.

“Pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan dibuat kemudian dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Pada PRU-14, BN memperoleh 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memperoleh majoriti mudah sekali gus membolehkan kerajaan negeri dibentuk.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 6:53 PM