ORANG ramai mengambil kesempatan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara. FOTO BERNAMA
ORANG ramai mengambil kesempatan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sambutan Hari Raya Aidilfitri di seluruh negara hari ini meriah dengan masjid dan surau dipenuhi jemaah untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri dengan perayaan kali ini dalam tempoh tiga tahun tidak ditetapkan sebarang prosedur operasi standard (SOP) khas.

Di KUALA LUMPUR, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara.

Pasangan diraja itu berangkat tiba di masjid berkenaan pada pukul 8.15 pagi diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tahun lepas, hari raya disambut dalam Fasa Peralihan ke Endemik yang menyaksikan SOP dilonggarkan.

Di SELANGOR, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menyertai ribuan jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri pada 8.13 pagi di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong.

Tinjauan mendapati kebanyakan jemaah yang hadir memakai pelitup muka seperti disarankan oleh Kementerian Kesihatan serta turut membawa sejadah sendiri.

Di KELANTAN, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V yang diiringi Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra, berkenan berangkat menyertai ribuan jemaah untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri pada 9.10 pagi di Masjid Al-Ismaili Bandar Baru Pasir Pekan, Tumpat.

Turut menyertai solat berkenaan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Di PERLIS, Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat ke Dataran Istiadat Istana Arau diiringi Menteri Besar Mohd Shukri Ramli untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri yang diimamkan oleh Imam Besar Negeri Perlis Ahmad Sirajuddin Abdul Satar.

Di TERENGGANU, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Ladang, Kuala Terengganu diiringi Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Solat sunat yang diimamkan Mufti Terengganu Dr Mohamad Sabri Haron itu turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, pemimpin negeri dan lebih 3,000 rakyat jelata.

Di KEDAH, Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff berkenan berangkat ke Masjid Zahir, Alor Setar diiringi Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Lebih 2,000 jemaah menunaikan solat sunat itu yang bermula pada pukul 9 pagi dan diimamkan oleh Imam Besar Masjid Zahir Sheikh Mohd Naim Ahmad.

Di SABAH, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 500 jemaah di Masjid Hajiji Noor, Serusup Tuaran pada 7.15 pagi.

Bercakap kepada pemberita selepas menunaikan solat berkenaan, Hajiji meminta seluruh umat Islam di Sabah mengadakan sambutan hari raya secara sederhana.

Sementara itu, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni dijadual mengadakan majlis Rumah Terbuka di Istana Sri Kinabalu esok, manakala Kerajaan Negeri Sabah pula akan mengadakan majlis Rumah Terbuka pada 30 April ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Di SARAWAK, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Jamek, Petra Jaya.

Pada hari ini juga, Abdul Taib dijadual mengadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2023 di Astana Negeri Sarawak bermula 10.30 pagi hingga 4.30 petang.

Abang Johari pula akan menganjurkan majlis sama di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) bermula 10.30 pagi hingga 4 petang ini.

Di PUTRAJAYA, ribuan jemaah mula berkumpul di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin sejak 8 pagi untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri yang diimamkan oleh Mohd Radhi Abdul Ghani.

Dalam Khutbah Aidilfitri dibacakan Mohd Radhi, antaranya mengingatkan umat Islam agar terus mencurahkan bakti dan penghormatan kepada ibu bapa yang banyak berkorban.

Di NEGERI SEMBILAN, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir yang diiringi Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun tiba kira-kira 8:30 pagi di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Kuala Pilah bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama 1,500 jemaah.

Selesai menunaikan solat diimamkan oleh Abdul Rahman Ibrahim, baginda kemudian beramah mesra bersama jemaah yang hadir sebelum bergerak ke Istana Besar Seri Menanti untuk menghadiri Majlis Jamuan Rakyat.

Aminuddin yang ditemui pemberita turut meminta orang ramai berhati-hati pada musim perayaan selain turut menjemput untuk ke rumah terbuka kerajaan negeri Madani yang dijadual berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Seremban pada 7 Mei ini.

Di LABUAN, Ahli Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abd Rahman menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 500 jemaah di Masjid Kampung Patau-Patau II pada 7.30 pagi bersama pemimpin masyarakat setempat.

Di PAHANG, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri yang dipimpin oleh Mohd Faizal Abdul Manaf.

Usai solat, Tengku Hassanal berangkat ke majlis tahlil ringkas di Makam Diraja Pekan, yang terletak bersebelahan masjid bersama barisan pentadbiran Pahang yang diketuai Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Baginda juga dijadual berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar di Kompleks Bandaraya Kuantan (MBK), petang ini.

Di PERAK, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar pada 8.45 pagi untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri, diiringi Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Di MELAKA, hampir 10,000 penduduk di sekitar Masjid Al Azim di Bukit Palah tidak melepaskan peluang menunaikan solat sunat Aidilfitri pada 8.30 pagi yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.

Solat sunat Aidilfitri yang dimulakan pada pukul 8.30 pagi, dipimpin oleh Imam Besar Masjid Al-Azim Datuk Mohammad Hashim Al-Hafiz.

Di PULAU PINANG, lebih 5,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama-sama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Masjid Negeri Pulau Pinang pada 8.30 pagi.

Tun Ahmad Fuzi turut dijadual mengadakan jamuan Pagi Raya di kediaman rasmi Yang Dipertua Negeri, yang akan dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan pemimpin negeri yang lain.

Di JOHOR, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru bersama lebih 1,000 jemaah untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Berangkat sama Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor dan pegawai kanan kerajaan turut serta menunaikan solat sunat itu di masjid berkenaan.

Onn Hafiz turut mengadakan rumah terbuka untuk rakyat Johor di kediaman rasmi beliau di Saujana, Johor Bahru bermula 9 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2023 @ 11:48 AM