Mangsa bersama anak-anaknya dibantu anggota JPAM.
Mangsa bersama anak-anaknya dibantu anggota JPAM.

Karak: Lima sekeluarga nyaris maut apabila kereta yang dinaiki hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 22.8 Lebuhraya Karak sebelum kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gombak, semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, mangsa, Mohd Ridhuan Mohamed Amin, 29, bersama isteri, Noor Farisa Sahab, 30, dan tiga anaknya, Mohd Hazwan Haziq Mohd Ridhuan, 5, Mohamed Asyraf Ayman Mohd Ridhuan, 4, dan Nur Syafiya Mysara Mohd Ridhuan, 2, menaiki kereta Perodua Myvi dan dalam perjalanan ke Tol Gombak.

Pegawai Daerah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Lumpur Ruslan Lokk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.24 pagi sebelum sepasukan anggota dikerah ke lokasi kejadian.

“Setiba anggota di lokasi, didapati terdapat satu keluarga dan sebuah kereta terbabas di tepi laluan kecemasan.

“Semua mangsa berjaya keluar menyelamatkan diri dari kenderaan yang terbabas sebelum anggota tiba di lokasi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2016 @ 10:10 AM