ANGGOTA JPAM memeriksa mangsa yang maut di kilometer 35 Lebuhraya Karak.
ANGGOTA JPAM memeriksa mangsa yang maut di kilometer 35 Lebuhraya Karak.
Nadzreen Shah Mat Salim

Karak: Anggota bomba dan penyelamat bertungkus-lumus hampir sejam bagi menyelamatkan seorang pemandu lori yang terhumban dalam gaung.

Dalam kejadian jam 9 malam kelmarin, mangsa, Salahuddin Selamat, 53, dikatakan gagal mengawal lori berisi pasir dipandu sebelum terhumban dalam gaung di Kilometer 35, Lebuhraya Kuala Lumpur -Karak di sini.

Usaha menyelamatkan mangsa mengalami kesukaran berikutan lori itu berada di dalam gaung sedalam lebih 15 meter.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.45 dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dikerahkan ke lokasi.

“Seramai 10 anggota dan pegawai bomba bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan,” katanya.

Menurutnya, anggota bomba merangka strategi terlebih dahulu bagi mengeluarkan mangsa yang berada di dalam gaung berikutan keadaan lokasi yang curam.

“Mangsa dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dan anggota bomba menggunakan pengusung bagi membawa mangsa ke atas tebing jalan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Lumpur Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, anggotanya segera melakukan pemeriksaan terhadap mangsa cedera parah di bahagian kepala dan anggota badan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 10:07 AM