Karak: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Mohd Harrif Salleh (gambar) mendakwa ‘ditumbuk’ pelumba Southeast Allessandro Petacchi ketika menuju ke garisan penamat peringkat keenam di Karak, petang semalam.

Harrif mendakwa pelumba itu menumbuknya di bahagian belakang tiga kali bagi mengganggu fokusnya untuk mencari posisi terbaik melakukan pecutan pada peringkat keenam LTdL itu.

“Mungkin dia tidak puas hati kerana saya mengekori rakan pasukannya. Itu perbuatan yang tidak ‘gentlemen’. Kita mahu berlumba, bukan bergaduh.

“Ia menyebabkan saya takut untuk cuba meloloskan diri kerana saiz badannya agak besar dan saya turut menghormatinya sebagai pelumba lebih tua.

“Anuar Manan (rakan sepasukan) turut mengalami insiden sama daripada pelumba Orica GreenEdge. Sikap pelumba Pro Tour melakukan perbuatan seperti ini kepada pasukan Profesional Benua menunjukkan mereka tiada semangat kesukanan.

“Kami mungkin pelumba ‘cap ayam’ tapi janganlah buat seperti itu, hormat kami sikit,” katanya yang bercadang mengemukakan bantahan.

Sementara itu Petacchi segera menafikannya apabila menjelaskan dia hanya melakukan sentuhan terhadap Harrif kerana beranggapan gaya tunggangan pelumba TSG berkenaan berbahaya.

Jurulatih TSG Sebastian Duclos pula berkata, tindakan Petacchi itu ‘permainan biasa’ pelumba pecut dan tidak boleh memberikan komen selagi belum melihat rakaman insiden berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2015 @ 5:28 AM