Suraya Roslan dan Rizanizam Abd Hamid

Kuala Lumpur: “Arwah seorang pemimpin dan bapa yang berprinsip, beretika dan berhati mulia,” kata Adhha Amir Abdullah, 47, anak sulung kepada Tan Sri Abdullah Ahmad atau lebih dikenali Dollah Kok Lanas yang meninggal dunia akibat penyakit kanser hati dan buah pinggang, semalam.

Abdullah pernah memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan sebelum itu Setiausaha Politik Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein pada Oktober 1973.

Adhha Amri berkata, bapanya disahkan menghidap kanser esofagus sejak Aidilfitri tahun lalu.

“Bagaimanapun, kanser esofagus berkenaan berjaya pulih, namun sejak Isnin lalu sel kanser merebak ke bahagian hati dan pinggang.

“Kami dimaklumkan doktor, kematian bapa adalah disebabkan kanser hati dan buah pinggang serta bapa menghembuskan nafas terakhir dengan tenang di Hospital Pantai jam 1 tengah hari tadi (semalam) di sisi ibu, Puan Sri Fauzah Mohamed Darus serta anak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lorong U-Thant, semalam.

Allahyarham meninggalkan isteri dan tiga anak iaitu Adhha Amir, Ahmad Fuad, 42, serta seorang anak perempuan, Hamdia Munira, 45.

Menurutnya, sebelum itu bapanya sempat berpesan supaya menjaga empat cucu berusia sembilan bulan hingga 16 tahun dengan baik serta memastikan mereka menerima pendidikan terbaik.

Hamdia Munira berkata, bapanya adalah seorang lelaki penyayang dan sangat berpengaruh dalam bidang politik.

“Sebelum meninggal dunia, bapa sudah mewasiatkan supaya jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ayesha Kok Lanas, Kelantan.

“Masjid Ayesha didirikan oleh bapa untuk penduduk di sana (Kok Lanas) sejak lima tahun lalu dan dinamakan Ayesha sempena nama nenek,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2016 @ 10:06 AM
Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri FD Iskandar  (kanan) dan bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Seri Kalimullah Hassan (kiri)  melawat jenazah Allahyarham.
Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri FD Iskandar (kanan) dan bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Seri Kalimullah Hassan (kiri) melawat jenazah Allahyarham.
NAJIB bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan ahli keluarga Allahyarham mengaminkan bacaan doa untuk jenazah.
NAJIB bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan ahli keluarga Allahyarham mengaminkan bacaan doa untuk jenazah.