Sidang Dun Kelantan. FOTO ARKIB NSTP
Sidang Dun Kelantan. FOTO ARKIB NSTP
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kelantan menyediakan peruntukan tambahan RM20,000 kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, ia bagi membantu rakyat di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan menjalani kuarantin di rumah.

"Insya-Allah kerajaan tidak akan simpan wang sehingga dimurkai oleh Allah SWT dan kita akan belanja mengikut kedudukan kewangan kita.

"Bagi kawasan yang lain (bantuan), ia bergantung kepada kedudukan kewangan," katanya dalam sesi penggulungan Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Terdahulu, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad (BN- Kok Lanas) memberi soalan tambahan adakah boleh pihak kerajaan negeri menyediakan sedikit peruntukan untuk membantu rakyat yang terkesan di kawasan PKPD dan mereka yang dikuarantin di rumah.

Md Alwi berkata, menjadi lumrah masyarakat terutama apabila kawasan dikenakan PKPD dan tidak boleh keluar rumah memerlukan bantuan daripada wakil rakyat.

Menjawab soalan itu, Ahmad yang juga ADUN Pasir Pekan berkata, perkara itu boleh berurusan dengan beliau.

"Boleh berurusan dengan saya sendiri. Insya-Allah saya seboleh-bolehnya akan atasi sendiri (bantuan)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 2:15 PM