ZAHID bersama sebahagian anggota polis, semalam.
ZAHID bersama sebahagian anggota polis, semalam.
myMetro

Kuala Kangsar: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Tun Dr Mahathir Mohamad menutup mulut daripada bercakap sebarang perkara sebelum orang lain menyifatkannya sebagai nyanyuk.

Menurutnya, beliau sebenarnya mahu mengambil sikap tidak mengulas lanjut mengenai orang lain.

“Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai beliau, itu saja,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Markas Taktikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar di sini, semalam.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri yang menyarankan beliau yang sudah kaya-raya supaya memberi tumpuan kepada perniagaan berbanding politik.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Polis Perak Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi.

Mengenai perjalanan PRK Kuala Kangsar, beliau berkata, setakat ini, hanya 11 laporan polis diterima sepanjang kempen berlangsung.

Menurutnya, daripada jumlah itu, hanya lima kertas siasatan dibuka dan berharap keadaan itu dapat dikekalkan hingga hari pengundian, Sabtu depan.

“Setakat ini, secara keseluruhan dua PRK di Kuala Kangsar dan Sungai Besar, Selangor terkawal,” katanya.

“Keadaan itu disebabkan kematangan berpolitik dalam kalangan parti selain kecekapan dan kerja keras polis bagi memastikan keamanan PRK berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2016 @ 7:34 AM