DR Zambry
DR Zambry
myMetro

Kuala Kangsar: Barisan Nasional (BN) tidak akan menggunakan perkataan provokasi dalam kempen hingga menggugat keharmonian rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sebarang kempen berbentuk provokasi perlu dihentikan kerana mencetuskan keresahan dan menggugat ketenteraman awam.

Beliau berkata, setiap kempen perlu menjaga adab dan tutur kata serta tidak mengeluarkan perkataan keji yang mencetuskan keadaan tidak tenteram.

“Penceramah BN tidak akan terikut-ikut dengan ceramah berbentuk provokasi dimainkan pembangkang dengan membuat pelbagai tuduhan ketika Ramadan ini.

“Saya percaya rakyat tidak suka dengan ceramah provokasi dan rakyat di sini, tidak suka kerana ceramah mereka (pembangkang) memberikan suasana tidak baik kepada rakyat,” katanya selepas majlis bersama pemimpin, di sini, semalam.

Mengulas tindakan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli yang didakwa mahu membaling ‘bom atom’ ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak jika calon Parti Amanah Negara (PAN) memenangi PRK Sabtu ini, Zambry menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.

“Kita perlu berhati-hati supaya perkataan digunakan dalam ceramah tidak mencetuskan keresahan dengan penggunaan istilah bom,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 7:22 AM