Mohamad Nazri berkata Pakatan Harapan sepatutnya menang di PRK DUN Semenyih. FOTO Mohd Yusni Ariffin.
Mohamad Nazri berkata Pakatan Harapan sepatutnya menang di PRK DUN Semenyih. FOTO Mohd Yusni Ariffin.
Hairulazim Mahmud dan Rizanizam Abdul Hamid


“PAKATAN Harapan (PH) memang sepatutnya menang di kerusi ini (DUN Semenyih),” kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Beliau berkata, PH memerintah negara dan negeri jadi sudah sepatutnya mereka menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Sabtu ini.

Katanya, BN sebagai parti bukan pilihan harus menerima hakikat bahawa PH tiada masalah untuk memenangi PRK DUN Semenyih.

Beliau berkata demikian kepada media di Bandar Seri Putra, Hulu Langat, malam ini ketika mengulas mengenai peluang BN pada PRK itu yang menyaksikan saingan sengit parti itu dengan PH.

PH diwakili Muhammad Aiman Zainali manakala BN mencalonkan Zakaria Hanafi.

Sementara itu, Mohamed Nazri ketika mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bahawa beliau akan disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 berkata, polis sudah mengambil keterangannya 12 tengah hari semalam.

Katanya, beliau sudah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berkaitan perkara berkenaan.

“Bergantung kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya tapi saya sudah bagi kerjasama beri kenyataan,” katanya.

Mohamad Fuzi hari ini berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung ucapan kontroversi Ahli Parlimen Padang Rengas itu semasa berkempen di Semenyih.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 11:13 PM