EMPAT rakyat Malaysia diculik  di Pulau Ligitan, Sabah pada April lalu dibebaskan, semalam.
EMPAT rakyat Malaysia diculik di Pulau Ligitan, Sabah pada April lalu dibebaskan, semalam.
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Harun Yahya


Petra Jaya: Semua mangsa yang diculik sekumpulan lelaki bersenjata di Pulau Ligitan, Sabah, 1 April lalu diharap dapat disatukan dengan keluarga mereka secepat mungkin.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata, selepas lebih dua bulan nasib mereka tidak diketahui, perkembangan terbaru itu diharap menjadi kenyataan.

Bagaimanapun, beliau berkata, orang ramai diharap tidak membuat sebarang spekulasi berhubung pembebasan empat mangsa berkenaan sebagaimana yang dilaporkan media asing.

“Lebih baik serahkan kepada polis dan tidak perlulah membuat sebarang spekulasi. Saya berharap empat mangsa yang terbabit dibebaskan dan disatukan semula dengan keluarga masing-masing,” katanya ketika ditemui di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, semalam.

Mangsa, Wong Teck Pang, 31, Wong Teck Chi, 29, Johnny Lau Jung Hien, 21, dan Wong Hung Sing, 34, diculik sekumpulan lelaki bersenjata ketika dalam pelayaran pulang ke Tawau selepas menghantar barang di Manila, Filipina sebelum kapal itu dipintas lapan penjenayah bersenjata menaiki bot laju.

Semalam, media Filipina dilaporkan berkata, semua mangsa culik dibebaskan Kumpulan Abu Sayyaf selepas rundingan dijalankan antara wakil dari Malaysia dan kumpulan itu berjaya.

Sementara itu, di Sibu, keluarga mangsa menafikan laporan dari Jolo bahawa Abu Sayyaf telah melepaskan keempat-empat tebusan berkenaan.

Datuk kepada dua beradik, Wong Teck Pang, dan Teck Chi, Wong Lung Sung, 81, berkata, mereka tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai pembebasan atau lokasi terkini mangsa.

Menurutnya, lapan ahli keluarga, kecuali keluarga Hung Sing, berlepas ke Sabah dua minggu lalu apabila mereka mendengar khabar angin mangsa culik akan dibebaskan.

“Namun, sehingga pagi tadi (semalam), mereka tidak mendengar apa-apa berita mengenai perkara itu (pembebasan) dan mereka juga kerap mendapat panggilan telefon daripada pelbagai pihak bertanyakan pengesahan mengenai berita pembebasan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2016 @ 11:29 AM