Mohammad Azlin (tengah) bertemu anggotanya di IPD Subang Jaya, semalam.
Mohammad Azlin (tengah) bertemu anggotanya di IPD Subang Jaya, semalam.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Subang Jaya: Terpedaya dengan pujuk rayu dan janji manis seorang lelaki warga asing, seorang pesara guru wanita kerugian RM138,000 selepas ditipu lelaki terbabit yang dikenali sejak Ogos tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, mangsa yang berusia 62 tahun mula berkenalan dengan suspek menerusi laman sosial Facebook (FB) sehingga timbul rasa cinta.

Beliau berkata, suspek mula memasang ‘jerat’ Januari lalu apabila meminta mangsa memasukkan sejumlah wang dan berjanji untuk berkahwin dengan mangsa.

Mangsa yang terlalu menyayangi lelaki itu akur dengan permintaan suspek sebelum memasukkan wang RM45,000 ke dalam sebuah akaun seorang wanita tempatan.

“Disebabkan rasa cinta dan sayang, mangsa tidak mengesyaki apa-apa sekali gus memberi peluang kepada lelaki terbabit meneruskan tipu helahnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini, semalam.

Mohammad Azlin berkata, suspek sekali lagi meminta mangsa memasukkan wang dengan memberi alasan dia terbabit dalam kemalangan di Bangkok, Thailand.

“Mangsa sekali lagi terpedaya dan memasukkan RM93,000 ke dalam akaun milik seorang wanita tempatan.

“Suspek terus memasang perangkap dengan meminta wang untuk kali ketiga namun mangsa mula menyedari sudah diperdayakan suspek,” katanya.

Menurut Mohammad Azlin, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis USJ, Isnin lalu.

“Susulan laporan itu, sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) mengesan pemilik akaun bank itu.

“Polis menahan seorang wanita berusia 32 tahun dipercayai keldai akaun, kelmarin,” katanya.

Mohammad Azlin berkata, wanita berkenaan mengaku menerima komisen daripada seorang lelaki warga Afrika yang ingin menggunakan akaunnya.

“Polis kini giat mengesan seorang lelaki warga Afrika dipercayai terbabit dalam kegiatan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2016 @ 9:34 AM