ANGGOTA polis menyoal siasat suspek yang ditahan di Bandar Sunway, Subang Jaya, hari ini. Gambar kecil, pakaian wanita dirampas daripada suspek. FOTO ihsan polis
ANGGOTA polis menyoal siasat suspek yang ditahan di Bandar Sunway, Subang Jaya, hari ini. Gambar kecil, pakaian wanita dirampas daripada suspek. FOTO ihsan polis
Mohd Hasbi Sidek


LELAKI yang mempunyai hobi suka memakai pakaian wanita ditahan selepas menceroboh rumah di Jalan PJS 9/24, Bandar Sunway, Subang Jaya dan mencuri pakaian wanita, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, polis menemui tujuh pakaian wanita pada lelaki berusia 25 tahun yang bekerja sebagai kerani di syarikat swasta berkenaan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, ketika pihak polis membuat rondaan cegah jenayah di tempat kejadian, mereka ternampak lelaki itu berada dalam keadaan mencurigakan.

“Pemerhatian dan intipan mendapati seorang lelaki sedang berjalan dalam keadaan mencurigakan di Jalan PJS 9/24, sebelum bertindak menceroboh masuk ke sebuah rumah dengan memanjat pagar bahagian hadapan.

“Daripada pemerhatian dibuat, suspek mengambil beberapa helai pakaian lalu memanjat keluar dengan membawa pakaian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pegawai operasi dan anggota menghampiri serta mengepung suspek di luar pagar rumah sebelum menangkap suspek dan merampas tujuh pakaian di tangannya.

“Hasil siasatan mendapati suspek mengaku mencuri pakaian berkenaan dengan memberi alasan mempunyai hobi suka memakai pakaian wanita.

“Suspek mengaku sebelum ini pernah mencuri pakaian wanita di Kapar, Perak, ketika dia tinggal di sana.

“Pegawai operasi membuat pemeriksaan di dalam bilik sewa suspek dan lelaki itu menyerahkan beberapa helai pakaian wanita dicurinya pada tahun lalu, namun mendakwa tidak dapat mengingati lokasi kejadian,” katanya.

Mohammad Azlin berkata, tempat kejadian tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan pihaknya akan menghubungi pemilik rumah bagi membuat pengecaman mengenai pakaian dirampas.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 7:28 PM