NAJIB   meninjau  Hotel St Regis semalam dengan diiringi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
NAJIB meninjau Hotel St Regis semalam dengan diiringi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Ahmad Saufi Mansor

Langkawi: Pembangunan berterusan Langkawi termasuk kewujudan kemudahan hotel yang menepati kriteria antarabangsa mampu meletakkan dan menaik taraf nama pulau peranginan popular negara ke persada dunia, sekali gus menjadi tumpuan golongan pelancong mewah yang memiliki kuasa beli tinggi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, ia dibuktikan dengan pembangunan St Regis Langkawi iaitu sebuah hotel yang mempunyai mutu tinggi bukan saja daripada segi kemudahan, tetapi juga konsep dan reka bentuknya yang menepati kriteria antarabangsa.

Katanya, kerjasama Kerajaan Pusat dan syarikat Kumpulan Rajawali dari Indonesia bukan sekadar membuka hotel premium berkenaan, tetapi strategi keseluruhan dengan pembangunan lain yang akan menyusuli dalam tempoh lima tahun akan datang di pulau peranginan berkenaan.

“Strategi keseluruhan kita mahu meletak dan menaikkan taraf nama Langkawi di persada antarabangsa, atau dalam peta dunia untuk menarik pelancong premium (berkunjung ke pulau ini).

“Kita sudah berjaya membuka Langkawi sebagai pusat pelancongan menjadi tumpuan ramai terutama golongan pertengahan, tetapi apa yang belum kita lakukan ialah menaik nilai pulau ini dengan mewujudkan pasaran premium.

“Apabila berjaya melakukannya, maka banyak limpahan bakal diperoleh seperti pekerjaan berpendapatan tinggi untuk anak tempatan, permintaan barangan tempatan selain mewujudkan kompleks beli-belah dan sewa kereta mewah juga,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Sebelum itu, beliau melakukan kunjungan ke hotel premium berkenaan dengan diiringi Pengerusi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rajawali Tan Sri Peter Sondakh.

Menurutnya, kerajaan juga berhasrat meningkatkan hubungan Langkawi dengan dunia luar pada masa depan kerana ketika ini hanya terdapat satu penerbangan terus dari Guangzhou, China ke Langkawi untuk merancakkan sektor pelancongan di pulau ini.

“Industri sokongan seperti kehadiran produk premium ke Langkawi juga menjadi tarikan kepada pelancong terutama mereka yang mempunyai kuasa beli tinggi, kerana ketika ini belum ada jenama antarabangsa dan akan berusaha untuk membawanya ke sini.

“Keadaan ini memerlukan masa sekurang-kurangnya tempoh lima tahun sebelum kita mencapai fasa selanjutnya untuk Langkawi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2016 @ 11:15 AM