AZMI (dua kanan) menyerahkan Sijil Pendaftaran Premis Penginapan Pelancong kepada Jeffrey (tiga kiri).
AZMI (dua kanan) menyerahkan Sijil Pendaftaran Premis Penginapan Pelancong kepada Jeffrey (tiga kiri).
AKTIVITI riadah seperti berkayak di Pulau Rusukan Besar. FOTO Bernama
AKTIVITI riadah seperti berkayak di Pulau Rusukan Besar. FOTO Bernama
BERNAMA

Labuan: Pusat Peranginan Pulau Rusukan Besar yang popular di sini dianugerahkan Sijil Premis Penginapan Pelancong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Penganugerahan sijil itu akan melayakkan Pulau Rusukan Besar menerima bantuan MOTAC dari segi promosi, bantuan kewangan (geran pelancongan) dan anugerah pelancongan.

Pemangku Pengarah MOTAC Labuan Azmi Ahmad Ross berkata, pengusaha di Pulau Rusukan Besar juga layak menerima insentif cukai daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

"Mana-Mana pengusaha pusat peranginan atau hotel yang berdaftar dengan MOTAC akan turut menikmati faedah penarafan dan dibenar mengambil pekerja asing," katanya kepada Bernama selepas majlis penyerahan sijil itu di Pulau Rusukan Besar hari ini.

Beliau berkata, penganugerah sijil itu juga akan membolehkan kerajaan memiliki angka sebenar (data dan statistik) hotel serta pusat peranginan yang beroperasi di seluruh negara.

"Kerajaan melalui MOTAC akan dapat merangka pelan pembangunan pelancongan di semua negeri dan daerah berdasarkan data serta statistik itu termasuk bagi pembesaran dan menaik taraf kemudahan pelancongan," katanya.

Pengusaha Pulau Rusukan Besar Jeffrey Lee pula berkata, ketiadaan jeti pelancongan di kawasan yang ditetapkan menjadi punca kekurangan pelancong berkunjung ke pulau pelancongan di sini.

"Bagi membangunkan Pulau Rusukan Besar, perlu ada jeti pelancongan dibina supaya pengunjung dan pelancong dari luar Labuan boleh mendapat akses serta maklumat untuk ke pulau itu.

"Sebagai pemain industri pelancongan, MOTAC boleh membantu menjalin kerjasama dengan Malaysia Airline dan AirAsia untuk mengadakan penerbangan terus dari negeri lain (seperti Pulau Pinang, Johor, Kuching) dan Brunei ke Labuan," katanya.

Beliau turut merayu kepada pihak berkuasa tempatan agar segera melantik kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih jeti yang rosak di pulau itu.

Pusat Peranginan Pulau Rusukan Besar adalah premis perniagaan pelancongan keenam yang menerima sijil itu selepas Hotel Dorsett Grand, Hotel Aifa, Hotel dan Apartment Ambassador 3, Hotel Labuan Point serta Hotel Jati.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 5:58 PM