NAJIB dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansur  melancarkan The St Regis Hotel and Resorts di Kuah, Langkawi.
NAJIB dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansur melancarkan The St Regis Hotel and Resorts di Kuah, Langkawi.

Langkawi: Bagi meletakkan nama Langkawi sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di dunia, pembinaan The St Regis Hotel and Resorts di Kuah, di sini, dilihat mampu menjadi pencetus kepada titik perubahan dalam industri percutian mewah di negara ini khususnya di Langkawi.

Hotel mewah yang dibina di pesisiran pantai Kuah itu dijangka mula dibuka kepada pengunjung pada November ini dan akan menjadi sebagai salah satu daripada destinasi tumpuan pelancong dari serata dunia.

Ia menawarkan 85 bilik bertaraf suite dan tiga vila terapung yang dibina dengan pemandangan Selat Melaka dan diuruskan oleh Starwood Hotels and Resorts Worldwide Inc.

Hotel ini adalah milik Integrated Nautical Resort Sdn Bhd dengan kerjasama Kumpulan Rajawali, Kementerian Kewangan Malaysia dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang merasmikan prapelancaran hotel itu dalam kenyataannya berkata, pembinaan The St Regis Langkawi akan menjadi pelopor dalam meningkatkan sektor percutian di negara ini setanding Monaco di Perancis dan juga Bali di Indonesia.

“Malah, dengan integrasi Komuniti Ekonomi ASEAN pada akhir tahun ini berserta penghormatan sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, saya begitu komited dalam mengubah landskap Langkawi menjadi sebuah destinasi pelancongan pulau bertaraf dunia sambil menyerlahkan lagi kemudahan terbaik yang terdapat di negara kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 8:23 AM