Sarah Zulkifli

Kuala Lumpur: Kereta ditemui di ladang sawit di Kampung Sungai Samak, Hutan Melintang, Perak pada September tahun lalu yang dipercayai Proton Perdana milik Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais dibakar dengan sengaja menggunakan petrol.

Ahli kimia, Khairul Anuar Abdul Aziz, 47, yang juga saksi pendakwaan ke-13 memaklumkan perkara itu dalam perbicaraan kes pembunuhan Kevin di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.

Menurut Khairul Anuar yang bertugas di Jabatan Kimia Cawangan Perak, kehadiran petrol dikesan di bahagian dalam dan luar kereta dan jika ia terbakar disebabkan kemalangan, bahan mudah terbakar itu tidak mungkin ditemui di dalam kenderaan berkenaan.

“Saya mengambil tujuh sampel di tempat kejadian, iaitu sisa kebakaran di tempat duduk bahagian belakang kiri dan kanan, tempat letak kaki pemandu serta penumpang hadapan, but belakang (tempat tayar simpanan), kawasan berhampiran tayar kiri hadapan dan tayar belakang kanan.

“Hasil ujian mendapati enam daripada tujuh sampel ini menunjukkan adanya kesan kehadiran petrol,” katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin dalam pemeriksaan utama.

Ketika menjawab mengenai keadaan di tempat kejadian di Hutan Melintang, Khairul berkata, tiada kemudahan seperti tiang lampu dan kenderaan melalui kawasan itu serta jaraknya daripada jalan besar (berturap) dianggarkan 300 meter.

“Apabila sampai di tempat kejadian pada 7 September tahun lalu, saya mendapati tahap kebakaran pada kenderaan itu adalah 100 peratus dan tidak dapat mengetahui model kereta itu pada pengamatan kali pertama.

“Bagaimanapun, selepas pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan itu, saya mendapati ia kereta Proton Perdana,” katanya.

Menurutnya, walaupun kereta itu terbakar 100 peratus, dia boleh melakukan pemeriksaan nombor casis dan nombor enjin kenderaan itu yang disifatkan unik seperti ‘kad pengenalan’ kepada individu.

“Terdapat satu lubang pada kawasan yang kebiasaan diletakkan nombor casis pada panel belakang ruangan enjin kereta itu dan ia terjadi akibat daripada pemotongan panel dan dibuangkan bahagian panel itu.

“Bentuk potongan itu lebih kurang bersaiz 15 sentimeter (cm) panjang manakala 5cm lebar,” katanya.

WAN SHAHARUDDIN: Maksudnya nombor casis dipotong menggunakan sesuatu alat dan ia dibuang?

KHAIRUL ANUAR: Ya. Saya tidak dapat menjalankan pemeriksaan nombor casis kenderaan itu. Saya kemudian memeriksa nombor enjin.

WAN SHAHARUDDIN: Bagaimana hasil pemeriksaan nombor enjin kereta itu?

KHAIRUL ANUAR: Saya melihat kawasan yang biasanya diletakkan nombor enjin dilihat mempunyai kesan kikisan yang dalam.

WAN SHAHARUDDIN:

Kemudian?

KHAIRUL ANUAR: Namun saya mendapati terdapat dua digit kelihatan pada kawasan itu (nombor enjin) dan dalam keadaan dua barisan iaitu atas dan bawah. Pada barisan atas, saya dapati digit terakhir yang sebahagiannya boleh dilihat iaitu sama ada digit tiga atau lapan manakala pada barisan bawah saya dapati satu digit terakhir yang sebahagiannya boleh dilihat iaitu digit lima.

WAN SHAHARUDDIN:
Digit lima itu nombor apa?

KHAIRUL ANUAR: Digit 5 adalah sebahagian daripada nombor enjin kenderaan itu.

WAN SHAHARUDDIN: Ada beza ke nombor casis dan nombor enjin?

KHAIRUL ANUAR: Ya. Nombor enjin adalah unik, sama seperti casis.

WAN SHAHARUDDIN: Apa lagi?

KHAIRUL ANUAR: Selepas proses elektrokimia, saya tidak menjumpai sebarang huruf atau digit yang baharu di kawasan nombor enjin itu.

Pada 27 Januari lalu, enam lelaki, G Gunasekaran, 48, R Dinishwaran, 24, A K Thinesh Kumar, 23, M Vishwanath, 26, S Nimalan, 23, dan S Ravi Chandaran, 45, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin antara 7 pagi dan 8 malam, 4 September, 2015, di antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.

Seorang lagi tertuduh Dr K Kunaseegaran mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin di tempat, tarikh dan masa yang mengikut Seksyen 109, Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 302, akta sama.

Kevin dilaporkan hilang 4 September tahun lalu. Beliau dilihat meninggalkan apartmennya di Menara Duta, di sini, dengan menaiki kereta Proton Perdana nombor pendaftaran WA6264Q.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 8:33 AM