BADRUL Hisyam menunjuk pacuan empat roda yang digunakan suspek untuk melanggar kereta Proton Perdana milik Kevin Morais di Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.
BADRUL Hisyam menunjuk pacuan empat roda yang digunakan suspek untuk melanggar kereta Proton Perdana milik Kevin Morais di Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.
Sarah Zulkifli


Kuala Lumpur: Seorang pegawai Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, mayat Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais ditemui dalam sebuah paya di Subang Jaya pada 16 September tahun lalu selepas seorang tertuduh kes bunuh itu memaklumkan kepadanya lokasi mayat mangsa dibuang.

Saksi pendakwaan ke-31, Asisten Superintendan (ASP) Badrul Hisyam Abd Hamid, 34, berkata, pada 16 September 2015, dia dari Kulim, Kedah dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul membawa tertuduh keenam, S Nimalan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat kes, ASP Wan Abdullah Wan Said sebelum lelaki itu memberitahunya maklumat mengenai kes pembunuhan berkenaan.

“Ketika dalam perjalanan ke IPD Sentul, Nimalan beritahu saya dia tahu di mana mayat Kevin dibuang dan selepas mendapat maklumat penting itu, saya kemudian terus membawanya ke IPD Subang Jaya dan kami tiba di sana jam 6.20 pagi.

“Apabila tiba, ASP Wan Abdullah, jurugambar polis dan pasukan forensik sudah berada di sana termasuk pasukan penyelam,” katanya ketika menjawab soalan pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin pada hari ke-21 perbicaraan kes bunuh Kevin di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah, semalam.

Menurutnya, Nimalan kemudian membawa mereka ke kawasan paya yang terletak kira-kira 10 minit perjalanan dari IPD Subang Jaya dan tiba di lokasi itu jam 7 pagi.

WAN SHAHARUDDIN: Boleh kamu ceritakan mengenai kawasan paya itu?

BADRUL HISYAM: Paya itu terletak bersebelahan dengan jalan raya, sekelilingnya ada semak-samun dan kawasan agak sunyi.

WAN SHAHARUDDIN: Sunyi, adakah penempatan di situ?

BADRUL HISYAM: Tiada.

WAN SHAHARUDDIN: Adakah ia jalan besar?

BADRUL HISYAM: Tidak. Ia kawasan menuju ke kawasan perindustrian.

WAN SHAHARUDDIN: Tanpa bantuan Nimalan, bolehkah kamu menemui tempat itu?

BADRUL HISYAM: Tidak.

WAN SHAHARUDDIN: Apa yang berlaku sebaik tiba di situ?

BADRUL HISYAM: Tertuduh tunjuk kepada saya satu lokasi dan cakap ‘dekat sini tuan’.

Ketika disoal Wan Shaharuddin mengenai air paya itu, Badrul Hisyam berkata, paya itu dengan kedalaman satu meter berwarna hitam dan berbau busuk.

Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada Nimalan, pasukan penyelam Jabatan Forensik kemudian menemui tong dram di dasar paya itu dan mereka terpaksa mengikat tong berkenaan menggunakan tali di belakang kenderaan sebelum menariknya ke atas.

“Ini disebabkan tong dram berkenaan amat berat walaupun ada enam anggota penyelam cuba menarik tong berwarna putih dan merah itu,” katanya.

WAN SHAHARUDDIN: Adakah tong dram itu dipotong untuk melihat kandungannya?

BADRUL HISYAM: Ya.

WAN SHAHARUDDIN: Siapa yang melakukan potongan itu?

BADRUL HISYAM: Anggota bomba.

WAN SHAHARUDDIN: Di manakah tong dram diletakkan?

BADRUL HISYAM: Di tengah jalan dan ada khemah dipasang.

WAN SHAHARUDDIN: Kemudian?

BADRUL HISYAM: Anggota bomba kemudian memotong bahagian sisi dan keluar batu kerikil yang bersalut simen dan guni.

WAN SHAHARUDDIN: Selepas itu?

BADRUL HISYAM: Anggota bomba potong bahagian tengah tong itu dan ketika tong dibuka, saya dapat lihat gigi manusia melalui satu lubang.

Terdahulu, Badrul Hisyam memaklumkan dia ke Sungai Petani, Kedah pada 15 September 2015 dan melakukan soal siasat dua jam terhadap Nimalan di IPD Kuala Muda selepas lelaki itu ditahan dan mengakui mendapat maklumat penting berhubung kes pembunuhan itu.

“Selepas soal siasat, kami ke Kulim dan seorang pegawai merampas Mitsubishi Triton berwarna hitam selepas menahan tertuduh ketujuh, S Ravi Chandaran,” katanya.

Pada 27 Januari lalu, enam lelaki, G Gunasekaran, 48, R Dinishwaran, 24, A K Thinesh Kumar, 23, M Vishwanath, 26, Nimalan, 23, dan Chandaran, 45, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin antara jam 7 pagi hingga 8 malam, 4 September 2015 di antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan 1, Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.

Mereka berdepan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Seorang lagi tertuduh, R Kunaseegaran, 53, yang juga pakar patologi tentera mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin di tempat, tarikh dan masa sama yang dibicarakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 302 akta sama.

Kevin dilaporkan hilang pada 4 September tahun lalu. Mayatnya ditemui di dalam tong dram yang disimen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 September tahun lalu.

Perbicaraan bersambung hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2016 @ 6:57 AM