Sarah Zulkifli

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, diberitahu bahawa Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais dipercayai sudah mati ketika dimasukkan ke dalam karung guni sebelum diletakkan di dalam tong dram, disimen dan dibuang ke dalam paya di Subang Jaya.

Pakar Perunding Perubatan Forensik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Nurliza Abdullah, 51, berkata, Kevin pengsan selepas dipukul di tujuh bahagian badannya sebelum diserkup dengan beg plastik sehingga dia mati akibat kelemasan udara.

“Berdasarkan bedah siasat, kematian mangsa berkemungkinan tinggi disebabkan oleh kelemasan udara.

“Saya menggunakan perkataan berkemungkinan kerana mayat sudah mengalami proses pembusukan dan bukan segar serta kelihatan tanda kecederaan kelemasan udara,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin dalam perbicaraan hari keempat kes pembunuhan itu.

Saksi ke-11 pendakwaan itu berkata, selain itu, bedah siasat menunjukkan bahawa tujuh bahagian badan Kevin mempunyai kesan darah beku di bibir, kanan dada, kiri tulang selangka di atas dada, bahu kiri, hadapan pergelangan kaki kiri, belakang badan kanan dan punggung kiri.

“Hasil bedah siasat terhadap mayat Kevin mendapati mangsa tidak bergelut atau melawan ketika kejadian berikutan tiada apa-apa kesan kecederaan pada tangannya,” katanya yang bertugas sebagai pakar forensik selama 20 tahun.

WAN SHAHARUDDIN: Apakah sebab kematian si mati (Kevin)?

NURLIZA: Berdasarkan bedah siasat, sebab kematian Kevin adalah ‘probable asphyxiation’ atau kelemasan udara.

WAN SHAHARUDDIN: Kenapa ada ‘probable’ atau berkemungkinan?

NURLIZA: Ia disebabkan jasad sudah melalui proses pembusukan serta kelihatan tanda kecederaan kelemasan udara.

WAN SHAHARUDDIN: Apakah bezanya ‘asphyxiation’ dan ‘drowning’?

NURLIZA: ‘Asphyxiation’ adalah kelemasan udara manakala ‘drowning’ adalah kelemasan dalam air.

WAN SHAHARUDDIN: Lemas dalam air, apakah yang ada di dalam paru-paru?

NURLIZA: Saluran pernafasan mengandungi air atau objek asing seperti pasir dan batu kecil. Selain itu, air yang terminum masa berlaku kelemasan serta kandungan air yang banyak dalam perut.

WAN SHAHARUDDIN: Dalam kes ini?

NURLIZA: Saya boleh kecualikan kematian disebabkan ‘drowning’.

WAN SHAHARUDDIN: Kenapa?

NURLIZA: Ini berikutan saya tidak menemui bahan objek asing atau kandungan air dalam saluran pernafasan atau organ perut si mati.

WAN SHAHARUDDIN: Sebab langsung si mati?

NURLIZA: Si mati maut adalah lebih kepada kelemasan faktor luar yang menyebabkan dia tidak bernafas dan mengalami kekurangan oksigen atau tiada oksigen langsung.

WAN SHAHARUDDIN: Adakah kekurangan atau kekurangan oksigen boleh menyebabkan kematian?

NURLIZA: Jika manusia tidak mendapat oksigen yang mencukupi, maka individu itu akan mati.

(Merujuk kepada tempat kejadian mayat Kevin ditemui di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, beliau berkata, dirinya dan Dr Ahmad Hafizam pergi ke tempat berkenaan dan mengesahkan beliau melakukan bedah siasat mayat yang sama).

WAN SHAHARUDDIN: Sebelum bedah siasat dijalankan, adakah kamu ke tempat kejadian?

NURLIZA: Ya.

WAN SHAHARUDDIN: Selain kamu, siapa lagi yang menjalankan bedah siasat ke atas si mati?

NURLIZA: Saya melakukan bedah siasat ini bersama Dr Ahmad Hafizam.

WAN SHAHARUDDIN: Adakah prosedur biasa dua doktor melakukan bedah siasat?

NURLIZA: Biasanya bedah siasat dijalankan oleh seorang pegawai perubatan, namun bagi kes ini kami berdua diberi tugas ini kerana dipercayai membabitkan pegawai kanan kerajaan dan menarik perhatian umum.

WAN SHAHARUDDIN: Apabila sampai ke tempat kejadian, boleh diterangkan secara ringkas keadaan di situ?

NURLIZA: Saya dan Dr Hafizam ditunjukkan satu tong dram yang dibawa keluar dari satu kawasan berair, seperti kolam dan tong itu diletakkan di atas jalan bersebelahan kolam berkenaan.

WAN SHAHARUDDIN: Apa kandungan tong dram itu?

NURLIZA: Selepas dibuka pada satu bahagian terdapat satu karung guni dan di dalamnya ada satu mayat.

WAN SHAHARUDDIN: Sebelum jumpa karung guni, ada tak apa-apa yang keluar?

NURLIZA: Dalam tong dram itu, ada simen dan cecair termasuk batu-batu kecil.

WAN SHAHARUDDIN: Adakah karung guni dibuka di tempat kejadian?

NURLIZA: Ia tidak dibuka di tempat kejadian, tetapi ada satu bahagian terbuka yang boleh nampak muka si mati.

WAN SHAHARUDDIN: Bagaimana keadaan karung guni itu dan mayat?

NURLIZA: Mayat dimasukkan ke dalam beg mayat dan dihantar ke Jabatan Forensik dan ketika membuka karung guni itu, ia dilumuri kekotoran. Karung guni diikat dengan seutas dawai besi dan kemudian dibuka. Selepas dibuka keseluruhan didapati mayat berpakaian lengkap tanpa selipar atau kasut. Mayat itu dalam keadaan membusuk dan kedudukannya seperti janin yang mana bahagian lutut dan sendi pinggul membengkok. Selain itu, tangan si mati diikat dengan tali leher dengan ikatan longgar dan diletakkan di belakang tubuh badannya. Kemeja mangsa terbuka melainkan butang terakhir yang mendedahkan bahagian bahu, dada dan belakang si mati.

Terdahulu, pakar forensik itu menyatakan, dia menerima borang untuk menjalankan bedah siasat terhadap mayat Kevin daripada pegawai penyiasat kes pembunuhan itu Asisten Superintendan Wan Abdullah Wan Said pada 3.05 petang, 16 September tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2016 @ 9:49 AM