DR Ahmad Zahid merasmikan majlis perasmian UTC di Sibu.
DR Ahmad Zahid merasmikan majlis perasmian UTC di Sibu.
Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail


Sibu: Mengubah bangunan projek gajah putih kepada Pusat Transformasi Bandar (UTC) bagi menyediakan perkhidmatan di bawah satu bumbung adalah sumbangan kerajaan kepada penduduk bandar.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada mana-mana negara di dunia yang melakukan transformasi dengan menukarkan bangunan yang tidak digunakan kepada satu pusat yang dapat memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Apabila semua agensi diletakkan di bawah satu bumbung, rakyat tidak perlu susah payah pergi ke lokasi berbeza dan menjimatkan kos serta tenaga,” katanya ketika merasmikan UTC Sibu, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Menteri Kewangan II Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

UTC Sibu adalah yang ketiga di Sarawak dan ke-14 di Malaysia. Selain UTC, Sarawak turut mempunyai dua Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) iaitu di Betong dan Bekenu.

Ahmad Zahid berkata, masyarakat di bandar sentiasa mendapat perkhidmatan terbaik, perbelanjaan serta peruntukan daripada kerajaan.

Menurutnya, sudah tiba masa masyarakat bandar menimbal balik semua kebaikan kerajaan dalam bentuk sokongan.

“Masyarakat bandar dapat kemudahan lebih banyak daripada penduduk luar bandar tetapi rakyat bandar, diwakili mereka yang tidak bersama kerajaan.

“Namun, kerajaan tetap memberikan sokongan terhadap penduduk bandar dengan limpahan kemudahan.

“Sudah tiba masa penduduk bandar menghargai usaha kerajaan dengan menyokong calon kerajaan dalam pilihan raya nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2016 @ 10:48 AM