Oleh Ardyhansah Amat


Kota Kinabalu: Kerajaan akan mengembangkan tugas Pusat Transformasi Bandar (UTC) selari hasrat kerajaan meningkatkan kualiti perkhidmatannya, khusus buat rakyat, pelancong dan pelabur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata ia perlu dilakukan dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai 'first ranking nation'.

"Walaupun tiap tahun Malaysia memperbaiki kedudukan sebagai negara paling mudah menjalankan perniagaan iaitu daripada tangga ke-20 tahun lalu kepada18 daripada 189 negara, usaha ini perlu digiatkan lagi.

"Saya yakin dan percaya jika perlaksanaannya berjaya, Malaysia mampu menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian bangunan UTC Sabah, di sini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dan barisan kabinet negeri.

Najib berkata, lebih 7.5 juta orang ramai berkunjung ke semua UTC dan Mini UTC seluruh negara bagi mendapatkan perkhidmatan pelbagai agensi kerajaan serta swasta sejak ditubuhkan pada 2012.

"Justeru, kerajaan akan mempertimbangkan pembinaan UTC di daerah lain di Sabah dalam usaha meningkatkan kemudahaan perkhidmatan kepada orang ramai," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berharap perkhidmatan UTC diperluaskan di daerah lain termasuk pedalaman.

UTC Sabah adalah pusat transformasi keenam daripada lapan UTC yang dibina di seluruh negara termasuk Perak, Pahang, Kuala Lumpur, Melaka, Kedah, Johor dan Sarawak.

Uniknya, kerajaan negeri mengambil inisiatif menjadikan premis perniagaan yang usang dan ditinggalkan lebih 20 tahun lalu menjadi bangunan UTC Sabah yang kini menempatkan 41 agensi kerajaan dan swasta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 12:01 AM