NAJIB menandatangani plak ketika merasmikan UTC Keningau. Turut hadir, Joseph (empat kiri) dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah (kanan). FOTO Khairull Azry Bidin
NAJIB menandatangani plak ketika merasmikan UTC Keningau. Turut hadir, Joseph (empat kiri) dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah (kanan). FOTO Khairull Azry Bidin
Mohd Izham Unnip Abdullah


Foto oleh Khairull Azry Bidin

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Malaysia akan terus ‘onsoi’ di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana banyak lagi akan dilaksanakan bagi meneruskan kemakmuran, termasuk merapatkan jurang pembangunan di antara Sabah dengan Semenanjung.

Perdana Menteri menyebut ‘onsoi’ yang bermaksud baik dalam bahasa Murut, bagi menggambarkan keadaan negara jika BN sekali lagi menawan Putrajaya dan Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Kalau mahu Malaysia yang ‘onsoi’, kita pilih BN, banyak yang sudah kita lakukan dan banyak lagi akan diusahakan.

“Pada malam 9 Mei ini, yakin kepada saya dan semua rakan dalam BN apabila Putrajaya kekal dalam tangan BN dan Sabah kekal dalam pangkuan BN, saya beri komitmen bahawa kerajaan BN di peringkat Persekutuan dan negeri akan terus berusaha merapatkan jurang pembangunan di antara Sabah dan Semenanjung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pusat Transformasi Bandar (UTC) Keningau, hari ini.

UTC Keningau yang dibuka sejak November 2016, adalah yang ketiga beroperasi di Sabah selepas UTC Kota Kinabalu dan UTC Tawau.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga calon BN dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; dan beberapa calon BN lain di kawasan ini antaranya Datuk Sairin Karno (DUN Liawan), Datuk Daniel Kinsik (Parlimen Keningau) dan Peter Alliun (Bingkor).

Najib berkata, bagi kawasan pedalaman Sabah khususnya di Keningau, BN akan membincangkan usaha menambah peruntukan bagi mengembangkan industri ternakan ruminan ke arah menjadikan daerah itu pusat pengeluaran susu dan daging negara.

“Kita tahu Keningau terkenal sebagai kawasan penternakan lembu terbesar untuk pengeluaran susu dan daging dan untuk itu kita akan beri peruntukan lagi bagi membangunkan industri berkenaan,” katanya.

Sementara itu, katanya, Sabah dan Sarawak bakal memiliki paling banyak Pusat Transformasi Bandar (UTC) berbanding negeri lain, masing-masing empat UTC termasuk UTC baharu yang akan dibina tidak lama lagi iaitu di Sandakan dan Bintulu.

Katanya, UTC adalah manifestasi kerajaan BN yang sentiasa memikirkan dan merancang inisiatif bagi menambah baik sistem penyampaian kerajaan kepada rakyat dapat terus dilonjakkan ke tahap lebih tinggi.

“Kita mahu rakyat bertambah yakin dan selesa dengan segala sistem atau perkhidmatan. UTC adalah idea sangat inovatif dan tiada negara lain di dunia mampu mewujudkan UTC seperti dilakukan BN,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan BN berjaya mengurus ekonomi dan kewangan negara dengan baik hingga berkembang pada kadar memberangsangkan.

Katanya, hasil kecekapan pengurusan BN, rizab negara bertambah kukuh dengan nilai mencecah AS$100 bilion (RM394 bilion) berbanding hanya AS$20 bilion (RM78 bilion) pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad.

Najib berkata, ia adalah fakta yang harus diakui semua pihak, namun pembangkang hanya menabur fitnah dan menuduh perkara tidak benar semata-mata untuk mewujudkan kebencian terhadap kerajaan.

“Terlalu banyak fitnah dan berita palsu untuk meniup kebencian terhadap kerajaan. Fakta mesti kita lihat, jangan percaya lidah mereka, mereka tiada senjata lain, hanya serang peribadi untuk meraih sokongan.

“Negara kita tidak boleh dibina atas politik dangkal seperti itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 8:25 PM