RAMLI (tengah) bersama anggota yang menerima sijil penghargaan pada Perhimpunan Bulanan Polis 2016 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.
RAMLI (tengah) bersama anggota yang menerima sijil penghargaan pada Perhimpunan Bulanan Polis 2016 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.

Melaka: Cemburu dipercayai motif kes cubaan bunuh seorang anggota komando Rejimen 11 Gerak Khas Kem Terendak yang ditemui parah di Sungai Timun, Negeri Sembilan, Ahad lalu.

Siasatan polis sehingga kini menjuruskan kepada masalah berkaitan wanita yang dipercayai penyebab Koperal Mohd Daud Karim, 26, parah dipukul empat lelaki sebelum dicampak ke dalam Sungai Timun dengan keadaan tangan kanan digari pada kaki kiri.

Setakat ini, polis sudah mengenal pasti identiti empat penyerang itu yang turut bertugas di kem sama dengan mangsa dan gerakan memburu mereka sedang giat dijalankan.

Ketua Polis Melaka Datuk Ramli Din berkata, pihaknya sedang melakukan gerakan susulan mengesan empat individu terbabit yang berusia lingkungan 30 tahun bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, hasil siasatan awal pihaknya mendapati cubaan membunuh dengan melemaskan anggota komando itu adalah bermotifkan masalah berkaitan wanita.

“Kami sudah mengenal pasti semua empat suspek dipercayai terbabit dalam kejadian itu bagaimanapun sehingga kini belum ada tangkapan dilakukan kerana individu terbabit sudah melarikan diri.

“Mangsa dan suspek saling mengenali, malah beberapa individu berkenaan adalah anggota tentera bertugas di kem sama,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini, semalam.

Berikutan itu, Ramli meminta semua suspek memberikan kerjasama dengan menyerah diri di balai polis berhampiran dengan segera, sekali gus membantu menyelesaikan siasatan.

“Mereka kini berada dalam senarai orang dikehendaki, ini dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, kami juga sudah mengambil keterangan awal daripada mangsa.

“Mangsa berada dalam keadaan stabil dan tenang, sekali gus membantu proses mengambil keterangannya. Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2016 @ 7:07 AM