Kajang: Orang ramai yang melalui jalan berhampiran Kajang Villa, di sini, menemui mayat seorang lelaki tertiarap dalam keadaan isi perut terburai akibat dirodok senjata tajam.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi semalam, mayat mangsa yang lengkap berpakaian dipercayai dibunuh sebelum dicampakkan di kawasan berkenaan.

Sumber berkata, mangsa dianggarkan berusia 40-an dan dipercayai dibunuh tengah malam kelmarin.

“Mangsa yang memakai baju belang dan seluar berwarna biru itu mengalami kesan cedera di kepala berikutan ada kesan darah ditemui.

“Pasukan pegawai dan anggota forensik yang melakukan siasatan di tempat kejadian tidak dapat mengesahkan kewarganegaraan mangsa berikutan mereka tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Abdul Ghani Mohamad Ji mengesahkan kejadian itu dan memberitahu siasatan terperinci dijalankan bagi mengesan suspek dan motif kejadian.

“Sehubungan itu, kami meminta individu atau saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil membantu siasatan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2015 @ 5:22 AM