KEADAAN kereta mangsa yang terjunam.
KEADAAN kereta mangsa yang terjunam.
Azahar Hashim


Bandar Baharu: Seorang wanita nyaris maut apabila kereta yang dipandunya hilang kawalan sebelum terjatuh dalam gaung berkedalaman 25 meter dalam kemalangan di Jalan Bukit 300 Kaki, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang, mangsa yang juga penanam bunga berusia 30 tahun berasal dari Sungai Bakap, Pulau Pinang, itu cedera di kaki dan tangan sebelum dikejarkan ke Hospital Kulim untuk rawatan kecemasan.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu Deputi Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Toyota Camry dipandu wanita terbabit hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan lalu terjunam dalam gaung sedalam 25 meter.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di kaki dan tangan serta tidak sedarkan diri. Orang ramai yang melihat kejadian kemudian membantu mengeluarkan mangsa sebelum menghubungi pasukan bomba bagi mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Serdang tiba untuk bantuan mengeluarkan mangsa lalu dihantar ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut dan keadaan mangsa dilaporkan stabil.

Sementara itu, jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.46 petang untuk bantuan sebelum sebuah jentera bersama enam anggota bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk membawa mangsa naik dari bawah gaung sebelum diserahkan kepada ambulans Klinik Kesihatan Serdang untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2016 @ 9:52 AM