MUHAMMAD Hafizuddin meninggal dunia di lokasi. FOTO Ihsan pembaca.
MUHAMMAD Hafizuddin meninggal dunia di lokasi. FOTO Ihsan pembaca.
Khairul Najib Asarulah Khan


PENUNGGANG motosikal meninggal dunia selepas terhumban ke gaung sebaik Honda EX5 ditunggang dirempuh Proton Saga di Jalan Seremban-Kuala Pilah, berhampiran Bukit Putus, jam 9.30 malam tadi.

Muhammad Hafizuddin Jali, 25, yang datang dari arah Kuala Pilah menuju Seremban menunggang bersendirian.

Kejadian berlaku apabila Proton Saga dari arah bertentangan itu hilang kawalan lalu merempuhnya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Senawang Rudy Hortono Mohd Yasin berkata, lapan anggota dikerah ke lokasi bagi membantu mangsa.

“Sebaik tiba, kami dapati mangsa terhumban ke gaung berkedalaman lebih lima meter.

“Kami mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan mangsa. Pemeriksaan mendapati mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

Mayat diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban untuk proses selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 1:28 PM