MANGSA ditemui tersembam dalam longkang bersama basikalnya.
MANGSA ditemui tersembam dalam longkang bersama basikalnya.
HM Digital

Bandar Baharu: Seorang penunggang basikal ditemui mati terperosok di dalam longkang berhampiran Taman Kelisa Emas, Lubuk Buntar di sini. kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 pagi, mangsa, Choo Thiam Yeong, 52, didapati tersembam di dalam longkang bersama basikalnya.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood ketika dihubungi berkata, mayat mangsa ditemui orang ramai yang kebetulan melalui lokasi kejadian sebelum menghubungi polis.

Katanya, siasatan awal polis percaya mangsa terbabas sebelum terjatuh ke dalam longkang itu dan meninggal dunia akibat kecederaan di kepalanya.

“Mayatnya dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasatan sebelum dituntut ahli keluarganya.

“Laporan bedah siasat menunjukkan punca kematian mangsa akibat kecederaan kemalangan dan lemas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan1987,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Kelisa Emas, Mohd Roslan SM Hashim berkata, pihaknya berharap pihak berwajib membina pagar di tepi longkang itu untuk keselamatan penduduk.

Katanya, longkang sedalam 1.5 meter itu tidak mempunyai pagar dan boleh mengundang bahaya kepada penduduk.

“Sudah beberapa kali kejadian penduduk taman cedera terjatuh ke dalam longkang dan kematian mangsa adalah kes pertama berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 7:48 AM