KEADAAN kereta mangsa yang remuk  selepas merempuh belakang  bas persiaran.
KEADAAN kereta mangsa yang remuk selepas merempuh belakang bas persiaran.
Azahar Hashim


Bandar Baharu: Seorang remaja lelaki maut akibat tersepit dalam kereta Perodua Myvi dipandunya, manakala dua rakannya cedera selepas merempuh bas persiaran yang rosak di Kilometer 175, Lebuhraya PLUS arah selatan berhampiran Bandar Baharu, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, mangsa M Sharvenraaj, 17, maut di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala dan badan akibat tersepit, manakala rakannya berusia 18 tahun cedera di kepala sementara seorang lagi berusia 19 tahun patah kaki dan tangan kanan.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata, mangsa dalam perjalanan menghala ke arah selatan dipercayai untuk pulang ke rumah mereka di Taman Meru Jaya, Ipoh, Perak.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian dipercayai kereta dipandu mangsa terbabas ke bahu jalan sebelum melanggar belakang sebuah bas persiaran berada di lorong kecemasan akibat rosak.

“Akibat daripada perlanggaran itu mangsa tersepit di tempat duduknya dan mengalami kecederaan parah di kepala serta badan sebelum orang ramai yang menyaksikan kejadian itu menghubungi pasukan bomba dan penyelamat untuk mengeluarkan mangsa.

“Pihak ambulans tiba tidak lama kemudian dan pegawai perubatan yang memeriksa mangsa kemudian mengesahkannya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya.

“Sementara dua lagi rakannya dihantar ke Hospital Parit Buntar, Perak untuk rawatan lanjut manakala pemandu bas berusia 39 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan difahamkan bas terbabit rosak sejak jam 1 pagi tadi (semalam),” katanya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2017 @ 5:43 AM