RAZALI (tengah) memotong kek sambil diperhatikan  Pengarah Darul Quran JAKIM, Zabidi Nasan (kanan).
RAZALI (tengah) memotong kek sambil diperhatikan Pengarah Darul Quran JAKIM, Zabidi Nasan (kanan).
Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Kuala Kubu Bharu: Institusi tahfiz ulung negara, Darul Quran sedang melalui proses rundingan peringkat ketiga bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk dinaikkan taraf sebagai universiti sekali gus menjadi rujukan ilmuwan Islam di peringkat antarabangsa.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Razali Shahabudin berkata, usaha itu bermula sejak tiga tahun lalu dan rundingan ketiga dibuat dalam masa terdekat.

“Masih ada beberapa isu teknikal termasuk berkaitan perundangan perlu diperhalusi kedua-dua pihak sebelum ke peringkat seterusnya.

“Sebagai institusi hafazan yang berusia 50 tahun sejak beroperasi pada 1966, kami berharap Darul Quran dapat diiktiraf sebagai universiti dan melahirkan graduan di peringkat tertinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sempena sambutan Jubli Emas Ulang tahun ke-50 Darul Quran JAKIM, di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Darul Quran Dr Nordin Ahmad dan pendakwah terkenal Datuk Hassan Mahmud Al Hafiz.

Razali yang juga bekas pengarah institusi itu dari 2002 hingga 2005 berkata, sehingga kini Darul Quran melahirkan 2,694 graduan sejak 1966 hingga tahun ini.

“Walaupun bermula dengan hanya lapan hafiz pada 1966, siapa sangka ia mampu berkembang sehingga melahirkan ribuan graduan peringkat sijil dan diploma dan kebanyakan mereka mempunyai kerjaya yang baik.

“Setiap tahun, Darul Quran menerima permintaan lebih 3,000 untuk pengajian peringkat sijil manakala 3,500 di peringkat diploma walaupun pengambilan hanya 150 orang untuk sijil dan 250 bagi diploma,” katanya.

Beliau berkata, bermula 1999, Darul Quran juga menawarkan program ijazah Sarjana Muda dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), selain program pengajian Syukbah Dakwah yang menjadi teras pengajian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2016 @ 9:52 AM