TECHNO-Huffaz gabung kemahiran dan hafazan al Quran.
TECHNO-Huffaz gabung kemahiran dan hafazan al Quran.
Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


GRADUAN yang berkemahiran dan Huffaz atau Techno-huffaz adalah manifestasi strategi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang sudah digariskan pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) iaitu Dual Certification-Diploma Politeknik dan Sijil Darul Qur'an Jakim.

Justeru, dalam memperkasakan graduan yang berdaya saing dan berkemahiran tinggi serta mendokong agenda nasional dalam menjadikan Malaysia sebagai peneraju TVET di peringkat serantau, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) berusaha gigih dalam pembangunan sahsiah diri pelajar sekali gus melahirkan graduan huffaz profesional.

Sehubungan itu, pada 2017, PSA menjadi politeknik pertama yang memperkenalkan Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran Jakim-Politeknik dengan kerjasama Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pengarah PSA Dr Mohd Zahari Ismail berkata, pada peringkat awal pelaksanaannya, program ini hanya ditawarkan kepada pelajar Program Diploma Pengajian Perniagaan bagi pengambilan sesi Jun 2017.

Namun, pada 2019 menurutnya, program itu diperluas kepada tiga lagi program pengajian iaitu Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Awam dan Kejuruteraan Elektrik.

"Melalui program ini, graduan yang tamat pengajian akan memperoleh Diploma Politeknik serta Sijil Tahfiz al-Quran Politeknik-Jakim.

"Pelajar yang mengikuti program pensijilan tahfiz ini dipilih mengikut syarat kelayakan ditetapkan Darul Quran selain perlu melepasi syarat kemasukan ke PSA yang sedia ada serta lulus tapisan temu duga," katanya.

Bagi mencapai tujuan dan objektif program yang menggabungkan kemahiran TVET dan menghafaz al-Quran itu, menurut Dr Mohd Zahari, PSA berjaya merangka model Techno-Huffaz yang menjadi acuan kepada graduan TVET yang global dan holistik.

Katanya, model itu merangkumi empat prinsip yang menjadi teras melahirkan pelajar Techno-Huffaz di PSA iaitu teknologis-i, keusahawanan, kompeten dan holistik.

"Selaras dengan nama Techno-Huffaz, menerusi teras teknologis-i, PSA mampu melahirkan teknokrat Islam dalam bidang kepakaran masing-masing di samping berlatar belakang seorang penghafal al-Quran.

"Teras ini mengambil ibrah kisah Zulqarnain yang diabadikan dalam surah al-Kahfi, seorang teknokrat yang beriman kepada Allah menggunakan kepakaran dalam pembinaan untuk menyelamatkan ummah daripada kejahatan serta mengekang kezaliman dan keganasan daripada terus merosakkan bumi," katanya.

Techno-Huffaz ini juga kata Dr Mohd Zahari, dapat mengaplikasikan ilmu keusahawanan yang dipelajari berlandaskan ilmu yang terkandung dalam pembelajaran tahfiz.

"Ilmu keusahawanan ini juga mengambil konsep 'al-Falah' daripada perkataan 'tuflihun' dirakamkan dalam ayat 10 surah al-Jumuah yang menuntut supaya umat merebut peluang bagi memperbaiki taraf kehidupan dengan memanfaatkan sumber limpahan nikmat daripada Allah SWT supaya berjaya di dunia dan akhirat.

"Ibrah ini menjadi teras ke arah melahirkan usahawan cemerlang yang diredai," katanya.

Untuk teras kompeten pula prinsip ini membawa pelajar Techno-Huffaz menjadi umat terbaik dengan menggalas amanah sebagai khalifah di atas muka bumi. Selain sentiasa memperbaiki diri ke arah yang lebih baik dan membawa masyarakat ke arah kebaikan.

Tiga metod penyampaian yang merangkumi Hikmah (ilmu), Mauizah Hasanah (peringatan yang baik), mujadalah (dialog harmoni) sebagai asas untuk menyampaikan kebaikan.

PSA menyediakan pembelajaran secara bersepadu menggabungkan aspek duniawi dan ukharawi melalui Techno-Huffaz.

Peluang yang dapat dimanfaatkan dengan mendalami pengajian tahfiz dengan bidang kemahiran pasti akan melahirkan generasi teknokrat Islam yang menjadi aset ummah pada suatu masa nanti.

PELAJAR Techno-Huffaz PSA juga terbabit dengan pelbagai pertandingan hafazan al-Quran.
PELAJAR Techno-Huffaz PSA juga terbabit dengan pelbagai pertandingan hafazan al-Quran.

Mengulas mengenai pembabitan pelajar Techno-Huffaz ini pula, kata Dr Mohd Zahari, pelajar akan terbabit dengan pelbagai jenis lapangan dan membangunkan projek inovasi menjadi satu kebiasaan kepada mereka.

Menurutnya, ilmu kepakaran bidang teknikal yang dipelajari dapat diterjemahkan melalui program peningkatan kemahiran yang disediakan PSA dan agensi luar kampus.

"Tidak hanya menumpukan kepada pembangunan akademik, pelajar Techno-Huffaz juga terbabit dengan pelbagai pertandingan hafazan al-Quran seperti Pertandingan Hafazan Al-Quran ITQAN dan Pertandingan Tilawah dan Menghafal al-Quran peringkat negeri.

"Pertandingan seperti ini dapat membantu proses hafalan al-Quran supaya sentiasa kekal dalam ingatan pelajar," katanya.

"Pelajar turut menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti program tahsin bagi menyemak dan memperbetulkan bacaan al-Quran dalam komuniti serta diberi garapan melalui 'softskills' seperti menjadi imam, menyampaikan perucapan awam dan tazkirah, memimpin bacaan doa serta program keagamaan.

"Ini adalah antara pendekatan yang dibuat PSA bagi mengasah bakat pelajar dan menjadi pemangkin untuk melahirkan graduan yang holistik," tambahnya.

Selepas tiga tahun melaksanakan program ini, pada tahun lalu, satu sejarah baharu dilakar PSA apabila berjaya melahirkan huffaz pertama, dari 'batch' pertama berjaya khatam hafazan 30 juzuk al-Quran.

Beliau ialah Muhammad Firdaus Naim Yuswan, pelajar Diploma Pengurusan Perniagaan.

Mengambil masa selama tiga tahun untuk merealisasikan impian menjadi penghafal al-Quran, Muhammad Firdaus Naim diiktiraf secara rasmi selepas melalui sesi pengujian 30 juzuk al-Quran pada peperiksaan semester akhir dan lulus dengan cemerlang.

Dr Mohd Zahari berkata, selain memperoleh Sijil Tahfiz al-Quran Politeknik-Jakim, Muhammad Firdaus juga berjaya menamatkan Diploma Pengurusan Perniagaan dengan memperoleh Himpunan Purata Nilaian Mata (HPNM) 3.35.

"Untuk rekod, Muhammad Firdaus juga sentiasa memperoleh HPNM melebihi 3.0 pada setiap semester bagi kedua-dua program sepanjang pengajiannya di PSA.

"Lebih membanggakan, sebaik menamatkan pengajian, Muhammad Firdaus terus diterima sebagai tenaga pengajar di sekolah tahfiz swasta di Selangor sebelum dilantik sebagai pensyarah sambilan Tahfiz di PSA," katanya.

Graduan yang berkemahiran dan huffaz adalah manifestasi strategi TVET yang digariskan pihak KPT iaitu Dual Certification-Diploma Politeknik dan Sijil Darul Qur'an Jakim.

Justeru, melalui program Techno-Huffaz ini, kata Dr Mohd Zahari PSA berharap mampu melahirkan graduan TVET yang global dan holistik serta membina masyarakat yang 'multi-tasking' dan 'multi-skilling' dalam mendepani cabaran global.

"Objektif penawaran program ini juga selari pelan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) yang mengiktiraf TVET sebagai salah satu pemboleh daya bagi menyumbang ke arah pembentukan negara membangun makmur dan inklusif.

"Oleh itu, diharap supaya lebih ramai lagi graduan huffaz yang berkemahiran tinggi berjaya dilahirkan seterusnya meletakkan politeknik sebagai pilihan pelajar lepasan SPM dan tahfiz, sekali gus melahirkan huffaz professional yang menjadi penggerak pembangunan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 7:00 AM