Iskandar Shah Mohamed


PENGUSAHA premis judi dalam talian dan mesin simulator ‘kepanasan’ apabila lima pusat haram itu digempur Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman di sekitar Shah Alam dan Klang, hari ini.

Difahamkan, semua premis yang tiada lesen perniagaan itu beroperasi antara tiga hari hingga dua bulan lalu dengan turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

Bagi mengelak dihidu pihak berkuasa, semua pintu masuk hanya akan dibuka penjaga premis dengan menggunakan alat kawalan jauh dan komputer riba dijadikan sebagai medium judi dalam talian.

Selain mesin judi simulator ‘Wukong’, logo kereta dan binatang, ia antaranya menawarkan permainan judi Roulette, Archer, Red Blue dengan purata kutipan pertaruhan dianggarkan antara RM7,000 hingga RM15,000 seminggu.

Kegiatan haram itu bagaimanapun berakhir apabila semua premis berkenaan ‘dikunjungi’ sepasukan 36 pegawai dan anggota STAGG secara serentak, kira-kira jam 3 petang tadi.

Dalam Ops Dadu JOL (Judi Online) Shah Alam-Klang selama lebih dua jam itu, 11 pekerja premis dan empat pemain berusia 20 hingga 30-an ditahan untuk tindakan lanjut.

Ketua Penolong Pengarah STAGG, Senior Asisten Komisioner Mohd Nazri Hussin berkata, serbuan itu dijalankan hasil maklumat awam mengenai kewujudan aktiviti haram berkenaan.

“Serbuan secara serentak itu membabitkan premis di Bandar Bukit Tinggi 1, Pandamaran, Pelabuhan Klang, Taman Klang Jaya dan Taman Sri Muda (Shah Alam).

“Dua wanita warga Indonesia antara 11 pekerja yang ditahan, manakala empat lagi lelaki dicekup kerana berjudi.

“Selain itu, kita antaranya merampas 52 komputer riba, sembilan modem, empat mesin simulator, dua komputer dan wang tunai berjumlah RM859,” katanya di Shah Alam, hari ini.

Menurut beliau, semua suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan IPD Klang Selatan untuk tindakan lanjut.

Kata Mohd Nazri, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) dan 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, selain Seksyen 6 (1) (c) dan 55B Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 11:16 PM
PASUKAN STAGG Bukit Aman melakukan serbuan di premis judi di Shah Alam. FOTO Muhammad Sulaiman
PASUKAN STAGG Bukit Aman melakukan serbuan di premis judi di Shah Alam. FOTO Muhammad Sulaiman